Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk semangat pelajar terus dampingi Al-Quran

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 20 Sept – Sebagai salah satu program tahunan bagi sekolah-sekolah agama, beberapa buah sekolah agama di Daerah Tutong telah meraikan murid-murid Darjah 6 yang berjaya menamatkan bacaan Al-Quran 30 Juzuk.

    Sehubungan itu, seramai 13 orang murid Darjah 6 dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Ugama Bukit Udal dan Sekolah Ugama Dato Pemancha Saging Ukong telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran di Dewan Sekolah Rendah Bukit Udal, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu khas di majlis itu ialah Nazir Lawatan Sekolah-Sekolah Agama, Hajah Shamsiah binti Haji Asmat.

    Sementara itu dalam majlis berasingan di Sekolah Ugama Penapar, seramai 17 orang murid Darjah 6 yang terdiri daripada 10 murid lelaki dan tujuh murid perempuan telah diraikan dalam majlis seumpamanya di dewan sekolah berkenaan.

    Murid-murid Darjah 6 Sekolah Ugama Bukit Udal dan Sekolah Ugama Dato Pemancha Saging Ukong yang mengikuti majlis khatam Al-Quran bergambar ramai bersama tetamu khas.

    Hadir selaku tetamu khas di majlis tersebut ialah Setiausaha Majlis Perundingan Kampung Penapar, Haji Samihon bin Haji Kaci.

    Di majlis tersebut, murid-murid telah diberikan sijil penyertaan dan seterusnya dimeriahkan lagi dengan laungan Dikir Asyraqal oleh murid-murid lelaki di sekolah berkenaan.

    Dengan adanya majlis khatam Al-Quran tersebut, murid-murid tersebut diharap akan sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai penyuluh dan pegangan hidup mereka selama-lamanya. Di samping itu, ia juga diharap dapat memupuk semangat para murid untuk terus mengamalkan bacaan Al-Quran dalam kehidupan mereka seharian selepas menamatkan persekolahan agama mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda