Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pupuk semangat solidariti demi nilai kemanusiaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan ICRC, Kuala Lumpur

    Memupuk sikap bersatu dalam membanteras dan meringankan konflik ancaman kemanusiaan perlu disemai dalam diri setiap individu untuk melahirkan insan-insan yang bermoral tinggi serta memiliki hati dan jiwa yang sentiasa menghargai erti kehidupan.

    Sehubungan itu, menangani isu kemanusiaan dan menerapkan nilai-nilai keamanan dalam kehidupan seharian adalah menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat global tanpa mengira warna kulit, agama atau kewarganegaraan.

    Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah atau International Committee of the Red Cross (ICRC) selaku salah sebuah pertubuhan institusi kemanusiaan yang berpusat di Geneva, Switzerland sejak ditubuhkan pada tahun 1863 tanpa henti beroperasi di seluruh dunia demi melindungi mangsa-mangsa dalam konflik dan keganasan bersenjata serta menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang mengalami bencana dan kesulitan.

    Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan bebas dan neutral, ICRC telah diberikan kuasa menerusi Geneva Convention pada tahun 1949 dan juga protokol-protokol tambahan yang mana ia juga berhubung kait dengan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan resolusi Konferensi Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

    Isu kemanusiaan Ukraine berterusan

    Menurut kenyataan daripada Pengarah Operasi ICRC, Dominik Stillhart, baru-baru ini, penduduk di timur Ukraine mengetahui sesuatu yang telah dilupakan oleh ramai orang di dunia, di mana terdapat satu konflik aktif yang berlaku selama hampir lapan tahun di negara itu yang terus menimbulkan akibat kemanusiaan yang besar kepada kehidupan dan kesejahteraan penduduk, penempatan dan infrastruktur penting.

    Rumah wanita berusia 80 tahun rosak akibat tembakan, dibaiki oleh ICRC.
    Pengarah Operasi ICRC, Dominik Stillhart.
    ICRC mengedarkan bahan api pepejal kepada penduduk untuk keperluan memanaskan rumah mereka.

    “Ukraine mungkin sekali lagi menjadi tajuk utama berita, tetapi ia tidak pernah berhenti menjadi tajuk utama kepada mereka yang menderita dalam pertempuran tersebut.

    “Kami memberi bantuan kepada ratusan ribu penduduk yang tinggal berdekatan dengan garis pertempuran yang kerap mengalami gangguan akses kepada rawatan perubatan, makanan, air, pemanasan dan bekalan elektrik, tetapi juga kepada pendidikan, perkhidmatan sosial dan peluang mata pencarian.

    “Beribu-ribu orang, orang awam dan mereka yang bertempur, telah terbunuh, cedera, ditahan atau dipisahkan daripada orang tersayang. Beratus-ratus orang masih mencari orang tersayang mereka yang hilang,” kongsinya.

    Beliau turut menegaskan di akhir kenyataan bahawa orang awam dan infrastruktur yang memastikan penghantaran perkhidmatan penting mesti diselamatkan, ahli keluarga mesti dibenarkan berjumpa dan menyokong satu sama lain, dan tahanan mesti dilayan secara berperikemanusiaan, selaras dengan apa yang dikehendaki oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa dalam semua konflik bersenjata.

    Bantuan membangun semula kehidupan Ukraine

    Sehubungan dengan itu, ICRC terus proaktif dalam menyelami aktiviti-aktiviti kemanusiaan neutral demi menggenggam misi mereka berjuang membantu keperluan orang ramai yang mengalami konflik kehidupan bagi membina semula kehidupan mereka secara menyeluruh sama ada berbentuk bantuan segera mahu pun jangka panjang.

    Sebagaimana tindakan bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan ICRC untuk membantu penduduk di Donbas, di mana terdapat pertempuran konflik, antaranya bantuan dalam membaiki ribuan buah rumah yang musnah dalam konflik, hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan primer, sekolah dan pusat komuniti. ICRC juga menyediakan inisiatif penjanaan pendapatan dan penghasilan makanan, serta memperbaiki keadaan pembelajaran dan keselamatan sekolah yang berdekatan dengan garis pertempuran.

    Di pelbagai lokasi di kedua-dua belah garis pertempuran, ICRC turut menyokong pembaikan kemudahan dan infrastruktur air, menambah baik keadaan di tempat tahanan termasuk melalui sumbangan bahan perlindungan jangkitan COVID-19. Selain itu, usaha-usaha membantu masyarakat dan ahli keluarga yang hilang turut dijalankan dengan sebaik-baiknya, di samping perlaksanaan program kesihatan mental dan akses kepada pendidikan dan sebagainya.

    ICRC juga menyokong beribu-ribu orang dalam komuniti yang terdedah kepada risiko periuk api dan bom lama yang tidak meletup dalam mengamalkan tingkah laku yang lebih selamat.

    Langkah dan usaha serta strategi operasi berterusan demi kemanusiaan di Ukraine berkenaan telah dipertingkatkan oleh ICRC secara berperingkat sejak 2014 lagi.

    Bersama rakan kongsi kemanusiaan

    Dalam pada itu, ICRC juga bekerjasama rapat dengan Persatuan Palang Merah Ukraine, serta rakan kongsi dalam Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah yang lain. Sebagai sebuah badan kemanusiaan yang neutral, bebas dan tidak memihak, Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menikmati akses istimewa. Ia melibatkan diri dengan pihak berkepentingan di peringkat global, kebangsaan dan tempatan serta menggabungkan respons kemanusiaan dan pembangunan dalam cara yang bebas, melintang dan besar, serta dapat menggerakkan kapasiti dan sumber dalam pergerakan.

    Lebih 800 orang hilang belum dikesan

    Sehubungan dengan itu, isu berkaitan orang yang hilang adalah salah satu keutamaan ICRC bersama rakan-rakan kongsi yang lain. Daripada sejumlah 1,800 orang hilang yang nama mereka telah berdaftar dengan ICRC dan Persatuan Palang Merah Ukraine sejak permulaan konflik, lebih 800 orang masih tidak dapat dikesan dalam tempoh lebih tujuh tahun selepas konflik bermula. Ini termasuk kedua-dua orang awam dan anggota tentera iaitu lebih daripada 95 peratus daripadanya adalah lelaki. Sehingga kini, ahli keluarga mangsa yang hilang tercari-cari jawapan tentang apa yang berlaku kepada orang tersayang.

    Menjadi operasi ke-10 terbesar

    Oleh yang demikian, keperluan kemanusiaan yang sedia ada dan semakin meningkat tidak boleh diabaikan atau dilupakan kerana Ukraine sekali lagi menjadi tajuk utama berita global dan kini kekal sebagai konteks keutamaan bagi ICRC.

    Ia adalah salah satu operasi ke-10 terbesar ICRC di seluruh dunia iaitu daripada 100 tempat pihak ICRC ditempatkan yang mana dianggarkan belanjawan lebih daripada 73 juta CHF pada 2021 dan lebih 615 kakitangan di enam pejabat di seluruh Ukraine di kedua-dua belah garis pertempuran.

    Di seluruh dunia, ICRC melihat keperluan kemanusiaan meningkat daripada konflik yang berterusan dan berpanjangan serta krisis baharu. Hal ini menjadikan belanjawan ICRC pada tahun ini secara global adalah yang terbesar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...