Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Seramai 87 orang pegawai dan kakitangan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) telah menyertai latihan kebakaran dan pengosongan bangunan di BKISHHB pada 17 September lalu, yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran, memupuk rasa bertanggungjawab serta menerapkan ilmu pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran.
Dilaksanakan oleh BKISHHB dan Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, senario latihan itu melibatkan kebakaran di ruang bawah tanah dan tiga orang mangsa
mendapat kecederaan ringan semasa hendak keluar ke lokasi perkumpulan.
Apabila tiba di tempat berkenaan, anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering 4 kilogram.
Mangsa dalam kejadian berkenaan telah dapat dikeluarkan oleh Marsyal Bomba mereka sendiri.
Turut serta dalam latihan itu ialah Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad bersama pemangku pengarah BKI-SHHB.
Juga hadir ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, Pengiran Haji Asmali bin Pengiran Haji Ahmad.
Latihan itu bertujuan untuk memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek keselamatan kebakaran serta mengetahui tatacara yang betul untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran.
Ia dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keberkesanan prosedur yang bersistematik dan efektif.
