Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Purata kes COVID terus menurun, bawah 200 sehari

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan penurunan iaitu 143 kes sehari, berbanding minggu sebelumnya iaitu 223 kes sehari.

    Sebanyak 35,365 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 2.8 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

    Statistik berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Pada hari ini, tidak ada kes di dalam kategori 5 dan 4 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) atau yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Menurut beliau lagi, sehingga kelmarin (23 Januari), kadar liputan vaksinasi COVID di negara ini kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.8 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    “Pada hari ini, sebanyak 148 kes baharu telah dilaporkan iaitu 147 kes hasil ujian ART dan satu kes telah dikesan daripada ujian-ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh James Kon
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...