Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Purata kes harian meningkat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan peningkatan di mana kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah 437 kes sehari, berbanding dengan 388 kes sehari pada minggu sebelumnya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, jumlah keputusan ujian pantas antigen (ART) yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth didapati telah menurun di mana pada minggu lepas, hanya 17,083 keputusan ujian ART telah dilaporkan dan 17.6 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

    Beliau berucap demikian selaku Pemangku Menteri Kesihatan semasa sidang media bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, pada hari ini, terdapat satu kes dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala enam kes berada dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga 23 Oktober, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.6 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 10.7 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” jelasnya.

    Beliau juga mengongsikan bahawa sebanyak 431 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini iaitu 427 kes hasil ujian ART dan empat kes adalah hasil daripada 256 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT jua. Aamiin Aaminn Ya Rabbalalamin,” kata Yang Berhormat Dato di hujung kenyataannya.

    Rajah menunjukkan jumlah kes COVID satu minggu kebelakangan berbanding dengan minggu sebelumnya. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...