Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan sedikit peningkatan yang mana kadar purata dalam masa satu minggu kebelakangan adalah 101 kes sehari, berbanding kadar pada minggu sebelumnya sejumlah 85 kes sehari.
Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbar COVID hari ini mengongsikan, sebanyak 27,783 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 2.5 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Sejumlah 103 kes baharu telah dilaporkan hari ini yang semuanya daripada hasil ujian ART dalam masa 24 jam lalu. Sementara itu, tiada kes dalam kategori 5 dan hanya satu kes dalam kategori 4.
Bagi kadar liputan vaksinasi pula, setakat 26 Februari ia kekal pada 79.1 peratus keseluruhan rakyat mendapat dos ketiga dan 12 peratus telah mendapat suntikan dos keempat.