Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah pada purata kira-kira 685 kes setiap hari iaitu pengurangan kira-kira 50 peratus berbanding minggu lalu.
Statistik itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media mengenai situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurutnya lagi, sebanyak 65,339 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa seminggu di mana 7.3 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Pada hari ini pula, sebanyak 613 kes baharu telah dilaporkan, iaitu 609 kes hasil ART dan empat kes hasil daripada 277 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata hari ini, satu kes berada dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala lima kes berada dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
“Sepertimana dalam masa minggu-minggu sebelum ini, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan dalam masa satu minggu kebelakangan telah dikategorikan di dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” tambahnya.
Beliau seterusnya mengongsikan mengenai kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam setakat kelmarin (31 Julai), di mana 75 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga manakala 7 peratus telah mendapatkan dos keempat.
“Sebanyak 80.1 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin.
“Manakala 53.4 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Pehin mengingatkan orang ramai untuk memuat naik keputusan ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.
Beliau turut mendoakan, “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT jua.”