Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PUSAKA tinjau pasaran baharu

    KUCHING, 18 Okt – Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) akan meninjau pasaran baharu dalam usaha meningkatkan semula eksport hasil kayu negeri itu yang berkurangan sedikit dalam tempoh 2017-2018.

    Pada masa sama, Pengurus Besarnya, Hashim Bojet berkata PUSAKA juga akan terus memperkukuh eksport ke pasaran sedia ada.

    “Kami lazimnya menganjurkan misi dagangan ke pasaran sedia ada selain meninjau pasaran baharu. Selain itu, kami turut menyertai acara ekspo luar negara yang merupakan antara inisiatif PUSAKA.

    “Pasaran tradisional produk kayu kami adalah India, China dan Jepun dan menyasarkan untuk meninjau kemungkinan menembusi pasaran Timur Tengah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Hadiah Pertandingan Fotografi sempena perayaan ulang tahun ke-45 PUSAKA di sini hari ini.

    Mengulas faktor penyusutan eksport produk perkayuan Sarawak, Hashim berkata ini termasuk perkembangan di peringkat global.

    “Sumber eksport barangan kayu menurun akibat perkembangan ekonomi dunia yang turut memberi kesan kepada kami. Selain itu, pengeluaran dan eksport kayu tropika negara lain seperti Brazil dan pengeluar lain juga menyumbang kepada masalah itu.

    “Di peringkat tempatan pula, penutupan kilang papan lama menyebabkan tidak banyak pengeluaran kayu bergergaji dihasilkan dengan sekurang-kurangnya 20 peratus penurunan di peringkat kami,” katanya.

    Ketika mengulas pertandingan fotografi PUSAKA, Hashim berkata pihaknya menerima sebanyak 461 gambar daripada 84 peserta yang disifatkan beliau memaparkan sambutan amat baik selain memberi galakan kepada peserta untuk menghargai alam sekitar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda