“TENGOKLAH dua pusar di kepala budak itu, patutlah nakal dan tidak tahu duduk diam.”
Pasti ramai antara kita yang pernah mendengar ungkapan ini malah tidak mustahil ada yang mengalaminya sendiri atau mempunyai anak sebegini.
Bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran di sebalik kepercayaan terhadap rambut dua pusar yang dikaitkan dengan tingkah laku anak? Adakah kajian yang mengaitkan kedua-duanya dan mengesahkan perkara ini?
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, sering menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label negatif. Persoalannya benarkah semuanya begini?
Pusar rambut ini boleh dilihat sebaik seseorang anak damit itu dilahirkan. Jika anak mempunyai dua pusar, sejak kelahirannya dia sudah diberikan pelbagai label terutamanya oleh segelintir orang tua-tua yang mempercayai perkara itu.


Tidakkah terfikir kita berlaku tidak adil kepada anak damit berkenaan? Belum pun kenal dan pada usia terlalu muda, sudah bermacam anggapan dilemparkan kepadanya. Sebelum sempat belajar, si kecil sudah dilabel dengan pelbagai perlakuan yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’. Adilkah begitu?
Pengasas dan Jururunding Keibubapaan Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar berkata, kepercayaan dan pendapat mengenai anak yang mempunyai dua pusar sudah menjadi pegangan dalam masyarakat sejak sekian lama.
Namun, katanya, jika persepsi negatif terhadap kanak-kanak yang mempunyai dua pusar sudah ditanam sejak awal, ibu bapa atau keluarga tidak akan nampak segala kebaikan anak kerana di mata kita hanya terlihat tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
“Mungkin segelintir orang tua mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu tetapi untuk membuat tanggapan umum terhadap semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
“Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institusi yang banyak menjalankan kajian mengenai genetik dan genomik manusia, lima peratus penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gen manusia.
“Kepercayaan mengenai anak yang ada dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu, malah ia juga dipegang oleh masyarakat China, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa lagi kelompok masyarakat dunia.
“Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini ‘berpindah’ dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu,” katanya.
Noor Afidah berkata, terdapat kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak awal kandungan di dalam perut ibu lagi.
Mitos itu juga mengatakan apabila anak damit mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh anak damit itu dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi roh yang kemudian menjadi roh anak terbabit.
“Kerana pertembungan dua roh inilah, anak damit itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil. Adakah anda percaya?
“Sebagai seorang Muslim kita percaya setiap anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walau berapa banyak pusar pun yang dimiliki anak itu.
“Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa? Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar mengenai dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengannya akan mewujudkan konsep diri si anak,” katanya.
Menurutnya, anak sering tertanya-tanya mengenai dirinya, peranannya dan kebaikannya. Jika setiap hari anak mendengar dirinya diberikan label negatif, lambat laun, dia akan percaya dengan label berkenaan.
Anak akan percaya dirinya nakal, keras kepala, tidak mendengar kata dan suka menimbulkan masalah. Ini semua akan memberi impak negatif kepada jati diri dan keyakinannya. Jadi berhati-hatilah dalam melabel anak.
Sebenarnya tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku. Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibu bapa memahami dan mendidik mereka. Selain itu, tingkah laku dan corak pertuturan ibu bapa sendiri akan mempengaruhi kelakuan anak.
Anak adalah cermin ibu bapa. Jika ada tingkah lakunya yang dianggap negatif, cubalah selidik dan perhalusi keperibadian dan kelakuan ibu bapa. Pasti ada yang ditiru secara diam-diam tanpa anda sedari.
Panduan memahami anak
Ramai ibu bapa mengeluh apabila berdepan dengan kelakuan anak yang dianggap mencetuskan masalah. Ibu bapa mahukan anak yang mendengar kata, tetapi tidak berusaha untuk mendekati dan memahami perubahan dunia si anak. Untuk mengatasinya, ada beberapa perkara yang perlu difahami oleh ibu bapa antaranya:
1. Perkembangan kanak-kanak
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengha-rapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarahkan.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah beri anak makan pelbagai produk yang mungkin hanya memudaratkan mereka. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2. Pembawaan kanak-kanak
Setiap seorang dilahirkan dengan sifat semula jadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan, tidak cerewet. Ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada pula pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibu bapa kita perlu mengetahui kategori pembawaan anak supaya kita boleh memilih kaedah pengurusan yang bersesuaian untuk mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza. Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3. Fahami kecenderungan anak
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana ke mari, mencuba itu ini, menyentuh hampir setiap benda yang dilihatnya, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah dihalang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatannya.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibu bapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4. Ibu bapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak
Ibu bapa perlu sepakat untuk menentukan kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata ‘Ya’ dan ibu berkata ‘Tidak’, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila anak keliru untuk mematuhi arahan ibu atau ayah, akhirnya dia akan mengikut kata hatinya sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5. Ibu bapa guru dan model terbaik anak
Anak adalah cerminan diri ibu bapa. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Antaranya adalah bimbingan ibu bapa, persekitaran, rakan, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosinya, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai alasan untuk kita berputus asa membimbing anak. Sentiasalah berdoa supaya anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.