Pusat boling patuhi garis panduan pelan de-escalation

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Sukan boling di negara ini menyambut baik langkah pihak berkuasa untuk menerapkan garis panduan yang diperbaharui bagi tahap kedua pelan de-escalation khusus untuk pusat boling yang mula berkuat kuasa pada Isnin.

Di bawah tahap kedua, dua pemain boling sekarang dibenarkan untuk bermain dalam satu lorong berbanding dengan satu pemain dalam satu lorong yang diumumkan sebelum ini pada tahap pertama pelan de-escalation. Pemain dibenarkan menggunakan house balls dan house shoe yang telah disediakan dengan syarat mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan. Sama seperti tahap ketiga pelan de-escalation bagi kemudahan sukan tertutup dan luar seperti gim dan pusat kecergasan, pemain boling boleh bermain maksimum selama dua jam sehari.

Bilik lokar boleh digunakan, sementara kafeteria, restoran dan kantin yang terletak di pusat-pusat boling boleh beroperasi dengan kapasiti sehingga 90 peratus bergantung pada ruang. Pusat boling seperti Golden Bowling Company telah mengambil langkah-langkah keselamatan selaras dengan garis panduan untuk memastikan peralatan tersebut selamat digunakan.

Pusat boling akan menyediakan pilihan house balls yang terdiri dari yang paling ringan hingga yang paling berat dan tidak dibenarkan diambil dari penyimpanan rak.

Pelanggan juga boleh membuat permintaan ukuran bola yang berbeza di kaunter dengan staf sendiri akan menyediakan bola tersebut.

Semasa pemain memulakan permainan, mereka dibolehkan menggunakan salah satu house balls yang diletakkan di bahagian bawah sistem pengembalian bola. Setelah sesi selesai, kesemua house balls yang telah digunakan akan dibersihkan dan disanitasi. Orang ramai tidak dibenarkan berkumpul sebelum atau selepas sesi boling di sekitar pusat berkenaan. Pusat boling juga mesti menyediakan prosedur untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Pemain boling juga mesti melakukan penjarakan sosial dengan jarak dua meter dan mengelakkan sebarang kontak fizikal. Kakitangan juga diingatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan sementara pengguna digalakkan membawa pembasmi kuman sendiri untuk perlindungan.

Setiap pelanggan juga dimestikan mengimbas kod QR mereka melalui aplikasi BruHealth sebelum masuk dan selepas meninggalkan lokasi.

Salah seorang pengunjung pusat boling di negara ini menggunakan fasiliti berikutan kebenaran dari pihak kerajaan sebagai sebahagian daripada tahap ketiga pelan de-escalation.