Pusat CACHE ISB lahir graduan berkemahiran

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Pusat Majlis bagi Penganugerahan dalam Penjagaan, Kesihatan dan Pendidikan (CACHE), Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), baru-baru ini, telah meraikan mereka yang telah menamatkan pembelajaran Level 3 Early Years Educator for the Work-based Learner.

Majlis yang diadakan di dewan kuliah sekolah berkenaan dihadiri oleh para pelajar yang diraikan, ahli keluarga mereka, para penilai, pelatih dan mentor yang membantu graduan sepanjang pembelajaran mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ISB, Pusat CACHE menawarkan kelayakan profesional bagi mereka yang bekerja dalam sektor penjagaan dan pendidikan dengan pelbagai kursus dalam keperluan khas, tahun-tahun awal serta pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kenyataan menjelaskan, para graduan berkenaan bekerja dalam pelbagai situasi daripada kemudahan penjagaan harian hingga di ISB sendiri sebagai pembantu sokongan pembelajaran.

Sebilangan graduan juga meneruskan pengajian mereka bersama Pusat CACHE ISB.

Salah seorang graduan, Dayang Hazlina yang sedang mengikuti pembelajaran bagi Award Supporting Individuals with Learning Disabilities, menyatakan bahawa sebagai pembantu sokongan pembelajaran, beliau pada asasnya bekerja bersama kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Kursus masalah pembelajaran telah membantu saya dengan mengukuhkan pengetahuan saya dan memahami lagi mengenai bagaimana menyokong murid-murid ini. Ia telah membantu saya untuk mendapat lebih banyak kemahiran dan strategi,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Ratna berkata, “Saya memilih Pusat CACHE ISB kerana ia melengkapkan saya dengan kemahiran dan pengetahuan yang saya perlukan untuk menjadi pendidik tahun-tahun awal. Pusat CACHE ISB menyediakan semua latihan yang memenuhi standard profesional”.

Pusar berkenaan turut mengiktiraf para penilai, pelatih dan mentor atas sokongan dan dedikasi berterusan mereka terhadap pelajar dalam membantu mereka menjadi yang terbaik dalam bidang kepakaran mereka.

Pusat CACHE ISB meraikan graduan-graduan yang berjaya menamatkan pembelajaran. – Gambar serahan ISB