Pusat data pertama Microsoft sedia perkhidmatan awan di Malaysia

PUTRAJAYA, 19 APRIL – Pusat data serantau Microsoft Corporation yang pertama di Malaysia akan menyediakan perkhidmatan awan yang diyakini dalam negara dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia serta keupayaan menyimpan data di Malaysia.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata pusat data serantau yang akan ditempatkan di Kuala Lumpur itu adalah gabungan tiga pusat data yang kesemuanya dihubungkan kepada rangkaian latensi rendah dan mampu memberikan penyelesaian awan yang terbaik kepada negara.

“Dengan pembinaan pusat data ini di Malaysia, kita membantu untuk menggalakkan penggunaan awan dalam semua industri berbeza.

“Microsoft sebagai sebuah syarikat melihat potensi luas daripada kepelbagaian rakyat Malaysia dan keupayaan kemahiran yang boleh kita bangunkan bersama-sama Malaysia untuk berkhidmat di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas program Microsoft Bersama Malaysia di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kehadiran secara maya Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Global Microsoft Corp, Jean-Phillippe Courtois.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan Majlis MoU antara Pengarah Urusan Microsoft Malaysia (dua, kiri) dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (dua,kanan) pada Pelancaran Microsoft Bersama Malaysia Global Event, kelmarin. – Bernama

Raman berkata pusat data serantau itu adalah sebahagian daripada pusat data serantau global Microsoft yang akan dihubungkan dengan 60 pusat data serantau di seluruh dunia.

“Projek untuk menubuhkan pusat data ini bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah untuk seluruh dunia. Kami bekerjasama dengan kerajaan untuk menjadikan pusat data kami di sini sebagai sebuah pusat data serantau yang berkhidmat untuk Asia dan seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pusat data baharu serantau itu akan menyediakan Zon Ketersediaan Azure Microsoft, memberi daya tahan lebih kukuh bagi aplikasi yang sentiasa tersedia dan menyokong matlamat kelestarian Microsoft.

Ditanya mengenai penglibatan Microsoft dalam rancangan kerajaan untuk memindahkan 80 peratus daripada data awan kerajaan menjelang akhir 2022, Raman berkata mereka bekerjasama rapat dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). – Bernama