Pusat Ehsan terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Dalam usaha untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan amal kepada mereka yang memerlukan, Kedutaan Kuwait di Negara Brunei Darussalam telah menghulurkan sumbangan derma kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) pada majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong, hari ini.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Salah Al-Mutairi kepada Eksekutif Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Kuwait di Negara Brunei Darussalam serta Pusat Ehsan.

Pada majlis berkenaan, TYT Salah Al-Mutairi melahirkan perasaan gembira diberikan peluang untuk menyertai kegiatan amal itu yang bukan sahaja menyerahkan bantuan kepada Pusat Ehsan malah membantu menjana kesedaran mengenai kegiatan amal berkenaan serta menjadi contoh bagi menggalakkan lebih ramai mengambil bahagian dalam inisiatif mulia itu.

Beliau turut menekankan bahawa kegiatan bantuan komuniti seperti sumbangan derma berkenaan, merupakan sebahagian daripada komponen penting sebagai ahli komuniti diplomatik.

TYT Salah Al-Mutairi turut menyatakan bahawa majlis penyerahan sumbangan itu merupakan satu lagi mercu tanda yang penting dalam mengukuhkan sokongan, kolaborasi dan kerjasama di antara Kuwait dan Negara Brunei Darussalam.

TYT Salah Al-Mutairi menyerahkan sumbangan derma kepada Pengiran Datin Hajah Noraini di majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong, kelmarin.