Pusat hiburan terbakar, 6 maut

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Enam orang termasuk tiga warga asing terkorban apabila kebakaran meletus hari ini di sebuah pusat karaoke Malaysia, dengan para penyelamat menggambarkan situasi huru-hara ketika api semakin merebak di seluruh bangunan.

Kebakaran meletus awal Subuh di tingkat empat dari bangunan lapan tingkat di bandar Ipoh, utara negeri Perak.

Anggota bomba berkejar ke tempat kejadian dan menemui enam mayat yang maut akibat sesak nafas, kata pemangku pengarah jabatan bomba Perak, Sayani Saidon memberitahu AFP.

“Kami menemui mayat dua warga tempatan, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh. Kami masih memastikan identiti individu keenam,” katanya.

Anggota bomba telah menyelamatkan lapan orang termasuk dua yang dalam keadaan kritikal, tambahnya lagi.

Mangsa yang di dalam tidak dapat mencari jalan keluar selepas kebakaran meletus dengan lampu ‘keluar’ (exit) tidak kelihatan, ujarnya lagi. Mereka yang terselamat terpaksa berlari ke tingkat atas untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.

“Apabila kebakaran berlaku, semua bekalan elektrik terpadam menyebabkan semuanya gelap, jadi tanda ‘exit’ tidak jelas,” katanya.

Bangunan tersebut pada asalnya adalah blok pejabat dan memiliki 30 bilik karaoke di tingkat keempat dan kelima. – AFP