Pusat jagaan terbakar, 5 kanak-kanak maut

ERIE, 12 OGOS – Sebuah pusat jagaan harian tempat kanak-kanak boleh tinggal bermalam ketika kedua-dua ibu bapa mereka bekerja, rentung kelmarin akibat kebakaran yang mengorbankan lima nyawa manakala pemiliknya dikejarnya ke hospital, kata pihak berkuasa.

Mangsa-mangsa kebakaran di bandar tepi tasik Erie itu berusia kira-kira lapan bulan hingga tujuh tahun, kata Ketua Jabatan Bomba Erie, Guy Santone.

Kira-kira empat mangsa tinggal bermalam di sebuah rumah yang telah dijadikan sebagai pusat jagaan kanak-kanak, kata Ketua Inspektor Bomba Erie, John Widomski kepada Erie Times-News. Kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 1:15 pagi kelmarin, memusnahkan tingkat bawah apabila anggota bomba tiba, kata Widomski.

Valerie Lockett-Slupski, yang berdiri di seberang jalan dari rumah terbakar itu, memberitahu akhbar dia adalah nenek kepada empat kanak-kanak itu, dan mereka tinggal di pusat jagaan itu kerana ibu bapa mereka bekerja pada malamnya. Menurutnya lagi, keluarga itu mempunyai dua anak lelaki dan dua perempuan yang hampir setahun menggunakan khidmat pusat tersebut.

“Kami semua bersedih dan ingin tahu bagaimana ia terjadi,” kata Lockett-Slupski.

Punca kebakaran itu masih disiasat petang kelmarin, ujar Widomski kepada akhbar.

Erie Regional Chamber dan Growth Partnership menyenaraikan Harris Family Daycare berkhidmat ’24 jam, setiap hari termasuk cuti awam’.

Jabatan Pejabat Perkhidmatan Manusia bagi Perkembangan Kanak-kanak dan Pembelajaran Awal menyenaraikan pusat jagaan itu mematuhi peraturan dikehendaki berikutan pemeriksaan pada 28 Disember 2018. Namun pada 3 Januari, pemeriksaan mencatatkan dalam senarai yang mendedahkan ‘asap dan rokok atau puntung rokok’ dalam ‘ruang pusat jagaan kanak-kanak, ruang bermain dan di kawasan tempat penyediaan makanan’. – AP

Biro Bomba Erie, Inspektor Mark Polanski membantu siasatan kebakaran maut pada 11 Ogos. – AP