Pusat KACA terima sumbangan kerusi roda

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menyumbangkan empat kerusi roda kepada Pusat Kanak-kanak Cacat (KACA), di Kampung Kiulap.

Sumbangan berkenaan merupakan usaha berterusan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei yang telah menyumbangkan sebanyak 140 kerusi roda sebelumnya kepada Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Maryam (PIHM), Temburong pada Mei dan Jun lalu.

Kerusi roda berkenaan telah di-sampaikan oleh Perwakilan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam, Andrew HC Lee dan Naib Pengerusi Persatuan Perniagaan Taiwan, Edward Ko kepada Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman selaku wakil presiden KACA.

Sumbangan yang diagihkan adalah hasil kerjasama antara Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam dengan Persatuan Perniagaan Taiwan di Brunei Darussalam dan Persatuan Graduan Taiwan Brunei Darussalam dalam sama-sama menjalankan kempen amal dengan menyumbangkan kerusi roda berkualiti tinggi buatan Taiwan.

Menurut Andrew HC Lee, sumbangan berkenaan merupakan satu tradisi Taiwan dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, kerusi-kerusi roda yang disumbangkan dibiayai oleh pemerintah Taiwan dan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei menyelaraskan Persatuan Perniagaan Taiwan dan Persatuan Graduan Taiwan untuk menyertai aktiviti amal berkenaan yang mengumpulkan 174 kerusi roda pada Mei lalu.

Dalam beberapa bulan terakhir, empat hospital awam dan beberapa sekolah Cina telah menerima sumbangan berkenaan.

Andrew HC Lee dan Edward Ko menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Haji Awang Abdul Alim.