Pusat Kebudayaan Bajau Sama bakal dibina di Tuaran

KOTA KINABALU, 2 Jan – Pusat Kebudayaan Bajau Sama bakal dibina di Tuaran pada tahun ini sebagai antara usaha memperkasa dan memelihara warisan seni budaya masyarakat itu, kata Presiden Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata lokasi pusat itu telah dikenal pasti iaitu di Kampung Lok Batik, Tuaran, di tanah seluas 1.4 hektar.

Beliau berkata majlis pecah tanah pembinaan bangunan itu dijangka diadakan pada Februari depan.

“Kos bagi membina pusat kebudayaan itu berjumlah RM7.5 juta,” katanya ketika melancarkan cawangan PBSS Bandar Raya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disambut secara tradisi Bajau dengan persembahan silat ketika merasmikan PBSS Cawangan Bandar Raya Kota Kinabalu di Unggun Jaya kelmarin.
Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disambut secara tradisi Bajau dengan persembahan silat ketika merasmikan PBSS Cawangan Bandar Raya Kota Kinabalu di Unggun Jaya kelmarin.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSS Datuk Musbah Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah serta Naib Presiden PBSS Datuk Jumat Idris merangkap anggota Parlimen Sepanggar.

Dalam pada itu, Hajiji berkata PBSS akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Hajiji juga mahu masyarakat Bajau Sama terus memilih Barisan Nasional yang jelas berjuang membela nasib rakyat. – Bernama