Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat Masyarakat Bestari dirasmi

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 5 Feb – Pusat Masyarakat Bestari bagi Mukim Liang yang ditempatkan dalam satu bangunan dengan Pejabat Pos Kampung Lumut 1, di sini, mula dibuka dengan majlis perasmiannya semalam.

    Perasmian pusat berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Pusat itu diharap akan berkembang bermula dengan penyediaan perkhidmatan perpustakaan kepada Pusat Kecemerlangan Masyarakat dalam pelbagai bidang dan dijadikan sebagai sumber ilmu dengan menyediakan pelbagai aktiviti lain terutama sekali untuk kanak-kanak dan belia supaya akan lebih cenderung kepada aktiviti yang positif dan membangun minda daripada yang negative.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa Pusat Masyarakat Bestari itu berfungsi bukan sahaja sebagai perpustakaan dan tempat untuk meminjam buku malahan juga boleh dijadikan sebagai sumber ilmu untuk masyarakat mendapatkan pembelajaran dan ilmu sepanjang hayat melalui sumber tradisi seperti buku dan majalah serta media cetak kepada sumber moden iaitu Internet dan komputer.

    Majlis Perasmian Pusat Masyarakat Bestari Mukim Liang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
    Majlis Perasmian Pusat Masyarakat Bestari Mukim Liang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
    Yang Berhormat  Pehin Haji Awang Halbi ketika menyaksikan pameran pada majlis perasmian tersebut.
    Yang Berhormat  Pehin Haji Awang Halbi ketika menyaksikan pameran pada majlis perasmian tersebut.

    Majlis perasmian tersebut turut menyaksikan Yang Berhormat Pehin mengetuai dalam menderma buku kepada pusat berkenaan dan contoh menderma dalam bentuk itu wajar terus dicambahkan lagi kerana masyarakat Brunei amat gemar menyumbang derma dalam segala segi.

    Dengan terdapatnya Pusat Masyarakat Bestari Mukim Liang, KKBS mengajak orang ramai untuk singgah dan berharap ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di sekitar mukim tersebut.

    Selain itu, KKBS juga berharap pengurusan yang baik terhadap pusat tersebut akan berterusan melalui keterlibatan orang kampung supaya mampu mendatangkan pulangan dalam bentuk kepuasan memberikan dan menambah nilai kepada pusat itu ke arah kadar literasi dan amalan membaca yang amat tinggi serta mengamalkan budaya bermurah hati mendermakan buku-buku selain memupuk sikap menghormati buku dalam semua keadaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda