SEOUL, 9 Jan – Jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 berkata ia telah membuka pusat media di PyeongChang pada Selasa, di mana wartawan dari seluruh dunia akan menyampaikan kemas kini masa nyata bagi acara yang berlangsung kepada khalayak antarabangsa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 (POCOG) berkata Pusat Akhbar Utama (MPC) akan ditempatkan di Resort Alpensia, PyeongChang, yang terletak kira-kira 180 kilometer di timur Seoul, berhampiran venue untuk acara ski.
Temasya sukan itu dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 25 Februari di PyeongChang serta beberapa bandar berhampiran yang menjadi hos bersama iaitu Gangneung dan Jeongseon.
MPC akan dibuka sepanjang masa untuk menyediakan sokongan yang diperlukan, termasuk telekomunikasi dan pelbagai kemudahan lain, kepada wartawan.
Kira-Kira 3,000 wartawan dari 58 negara telah siap sedia untuk berkunjung ke MPC, selain sejumlah 270 wartawan Korea Selatan dari 68 media tempatan, kata POCOG.
MPC akan dibahagikan kepada tiga kawasan. MPC1 akan menempatkan ruang kerja utama dengan 400 tempat duduk untuk wartawan dan 100 untuk jurufoto, selain kemudahan seperti restoran serta ruang menunggu. – Bernama