Pusat Pembelajaran Inklusif ISB dirasmikan

BELAIT, 20 JUN – Sekolah Antarabangsa Brunei secara rasminya membuka Pusat Pembelajaran Inklusif (CIL) ISB di F5 Panaga baru-baru ini.

CIL yang merupakan pusat khas bagi kanak-kanak didiagnosis dengan kesukaran pembelajaran termasuk gangguan autisme, sindrom Down dan keperluan dalam pertuturan, bahasa dan komunikasi dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Shell Country Chair di Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis dan pihak pengurusan ISB.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas melahirkan penghargaan kepada BSP, Kementerian Pendidikan dan masyarakat tempatan atas perkongsian dan sokongan padu mereka.

“Di CIL, kami mempunyai pasukan profesional yang menawarkan program pembelajaran individual bagi menyokong kemajuan holistik pelajar. Bahagian ini secara meluasnya menggunakan pendekatan pembangunan kemahiran,” katanya.

Menurutnya lagi, matlamat mereka di CIL bukan sahaja membangunkan kemahiran akademik malah membina minat dan pembabitan pelajar dalam alam sekitar dan kemahiran fungsi kehidupan.

Pada majlis itu, Agnete Johnsgaard-Lewis turut menerima cenderahati penghargaan daripada ISB. Majlis turut menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, Awang Ahmad Isa dan Agnete Johnsgaard-Lewis menanam anak pokok bagi memperingati pembukaan pusat itu selepas melawat kemudahan dan kelas-kelas di pusat itu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama pegawai kanan BSP dan ISB di hadapan pusat baharu itu. – Gambar serahan ISB