Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat Pembiayaan Korporat Agrobank dibuka di Kuching

    KUCHING, 21 Julai – Agrobank hari ini membuka Pusat Pembiayaan Korporatnya yang pertama di bandaraya Kuching ekoran potensi yang dilihat cukup baik bagi bank itu untuk melaksanakan perniagaan terasnya dalam membantu pembangunan industri berasaskan pertanian khususnya di Sabah dan Sarawak.

    Pengerusinya Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pusat itu dibangunkan dalam usaha pihaknya memenuhi keperluan pelanggan terutama kalangan pihak korporat dan kedua negeri itu dilihat memiliki potensi besar dalam pembangunan industri pertanian berdasarkan trend pembangunan semasa, di samping memiliki sumber asli yang banyak.

    Beliau memberi contoh di Sarawak, menurutnya pembiayaan keseluruhan Agrobank dalam projek pertanian di bumi Kenyalang ini sepanjang tahun lepas menjangkau RM984 juta, dan tahun ini sehingga penghujung Jun sahaja jumlahnya mencecah lebih RM1 bilion. “Sekitar RM400 juta daripada jumlah tahun ini membabitkan pelanggan korporat,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Pusat Pembiayaan Korporat Agrobank di Jalan Kulas di sini yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Beliau berkata perkembangan semasa juga banyak menggambarkan potensi memberangsangkan di Sabah dan Sarawak, lebih-lebih lagi dengan pembangunan Lebuhraya Pan-Borneo yang sedang gigih diusahakan oleh kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi penduduk dua negeri itu selaras dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    Mohamad Zabidi berkata ketika ini Agrobank mempunyai 186 cawangan di seluruh negara, 13 daripadanya berada di Sarawak, kebanyakannya terletak di pekan-pekan kecil selaras dengan matlamat untuk mendekati kumpulan sasar kalangan petani, peladang, penternak dan nelayan.

    Ibu Pejabat Agrobank di Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur. Agrobank kelmarin membuka Pusat Pembiayaan Korporatnya yang pertama di bandaraya Kuching ekoran potensi yang dilihat cukup baik bagi bank itu.
    Ibu Pejabat Agrobank di Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur. Agrobank kelmarin membuka Pusat Pembiayaan Korporatnya yang pertama di bandaraya Kuching ekoran potensi yang dilihat cukup baik bagi bank itu.

    Sementara itu Douglas Uggah dalam ucapannya berkata Sarawak memiliki modal dari segi tanah yang cukup luas untuk dibangunkan dengan industri pertanian, yang menurutnya menjangkau sehingga 2 juta hektar, dan sektor itu menyumbang 14 peratus daripada KDNK (keluaran dalam negara kasar) negeri.

    Beliau berkata selaras dengan potensi besar sektor ini kerajaan negeri telah meletakkan beberapa matlamat yang boleh dilaksanakannya, seperti usaha mengurangkan import barang makanan yang tahun lepas menjangkau sehingga RM4.4 bilion dan meningkatkan eksport barangan berasaskan pertanian ke luar negara.

    Katanya kerajaan negeri juga berusaha mengawasi sekuriti makanan dalam memastikan barang makanan mencukupi untuk penduduk tempatan, di samping usaha membasmi kemiskinan yang sering dikaitkan dengan kumpulan penduduk luar bandar yang terlibat dalam sektor pertanian.

    Beliau berkata dalam usaha membasmi kemiskinan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar, kerajaan berusaha memastikan kumpulan petani, peladang, penternak dan nelayan memperoleh pendapatan tidak kurang daripada RM4,000 sebulan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda