Pusat pemindahan banjir Kota Belud ditutup

KOTA KINABALU, 29 Sept – Pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Tun Said di Kota Belud yang menempatkan 12 mangsa daripada lima keluarga sejak malam tadi, ditutup pagi ini dan kesemua mangsa dibenarkan kembali ke rumah masing-masing berikutan keadaan cuaca yang baik.

Bagaimanapun, Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Lt. Kol. Mohd Izaimi Md Daud berkata pihaknya masih memantau keadaan di daerah berkenaan secara berkala, terutama di kawasan yang kerap mengalami banjir kilat.

“Setakat 10.30 pagi tadi paras air di dua daripada tiga sungai utama di Kota  Belud  iaitu  Sungai Kadamaian dan Sungai Tempasuk berada di bawah paras bahaya  manakala  bacaan paras air Sungai Abai pula pada paras  amaran  tetapi  menunjukkan penurunan.

“Jalan yang terputus akibat banjir malam tadi iaitu Jalan Kampung Bobot dan Jalan Siasai Tamu kini boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini. Sebanyak 13 kampung di Kota Belud terjejas dengan banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam. – Bernama