KUCHING, 2 Feb – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu akan dibuka 9 pagi, Sabtu ini, di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80 km, dari sini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam sehingga 10 pagi.
Selepas sahaja urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding, katanya.
“Tempoh rasmi kempen pilihan raya hanya bermula selepas pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkannya Sabtu ini dan kempen akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 17 Feb,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengikut peraturan SPR, jika hanya seorang sahaja calon yang layak maka pengawai pengurus pilihan raya akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.
PRK DUN Tanjong Datu akan diadakan 18 Feb ini berikutan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini. – Bernama