Pusat pengayaan pendidikan berasaskan Islam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah telah berkenan melawat sebuah pusat pengayaan pendidikan berasaskan Islam untuk kanak-kanak, PAZ Tarbiyyah Islamic Enrichment Centre di Kampung Delima Satu, Serusop, hari ini.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan Pengiran Elina Zuraidah binti Pengiran Kamaluddin, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah dan Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin bin Pengiran Haji Hashim dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Pengasas PAZ Tarbiyyah Islamic Enrichment Centre, Dr Hajah Mona Yati binti Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Kassim.

Semasa lawatan tersebut, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran program yang unik dan pelbagai kemudahan yang ada di pusat tersebut.

PAZ Tarbiyyah Islamic Enrichment Centre yang merupakan salah satu tempat pendidikan awal di negara ini yang mempunyai gelongsoran, pendakian batu mini, kubah untuk bersembahyang dan kawasan wuduk yang juga boleh digunakan sebagai paparan demonstrasi kitaran air semula jadi yang direka untuk menggalakkan interaksi terbuka, di mana kanak-kanak berkongsi meja bersambung, dikelilingi oleh sistem hidroponik dan akuarium ikan.

YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah ketika berkenan berangkat ke PAZ Tarbiyyah Islamic Enrichment Centre di Kampung Delima Satu,Serusop, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan YAM Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah semasa berkenan berangkat ke pusat berkenaan.
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah ketika berkenan menerima pesambah. Berangkat sama ialah YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan YAM Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah.
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, Pengiran Elina Zuraidah, YAM Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin dan YAM Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah ketika berkenan bergambar ramai.
Kemudahan yang terdapat di PAZ Tarbiyyah Islamic Enrichment Centre.

Yang Teramat Mulia juga berkenan meluangkan masa untuk berinteraksi dengan murid-murid pusat berkenaan yang berusia antara empat hingga sembilan tahun dan menyaksikan aktiviti pembelajaran interaktif bagi menghidupkan kreativiti dan pencerahan rohani mereka.

Sebelum menamatkan lawatannya, Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani plak kenangan untuk memperingati lawatan dan juga menerima pesambah daripada Dr Hajah Mona Yati.

Konsep tarbiyyah adalah perkembangan sistematik umat Islam menumpukan kepada pembangunan karakter bermula dari hati dan bertujuan untuk meletakkan umat Islam di jalan pemurnian diri yang berterusan, pembetulan dan perkembangan diri sambil menanamkan semangat untuk kebenaran, belas kasihan, kewajaran dan keadilan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Dr Hajah Mona Yati menjelaskan, “Kami bukanlah sebuah sekolah agama. Kami berbeza kerana kami memfokuskan pengayaan. Kami bawakan apa yang sudah mereka pelajari di sekolah dan dari sana kami membina pengetahuan tersebut.

Dr Hajah Mona Yati berkata bahawa pada masa ini, lebih daripada 35 orang murid sudahpun didaftarkan di pusat pengajian berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa mereka mempunyai unit kurikulum di mana asasnya Asma al-Husna (99 nama-nama Allah) digabungkan dengan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW dan dimasukkan dalamnya Al-Quran, hadith dan sunnah bagi mereka mengajar agama Islam dengan menyentuh aspek sains, teknologi, kejuruteraan, keusahawanan, kesenian dan matematik yang dikatakan sebagai bukti kepada sifat holistik Islam dan tercermin dalam mukjizat Al-Quran.

Selain aktiviti dan eksperimen, menurut Dr Hajah Mona Yati, kanak-kanak juga diajar tentang nilai-nilai empati, pemahaman perasaan dan emosi berdasarkan sifat Nabi Muhammad SAW.

“Kami menanamkan nilai-nilai murni dan pada masa yang sama kami juga membimbing mereka untuk menjadi orang yang soleh dengan cara yang mesra.

“Kami juga mengingatkan mereka untuk berdoa dan membaca zikir dan sentiasa mengingatkan orang lain termasuk rakan-rakan mereka dan keluarga. Semua ini adalah untuk menjadi umat Islam yang soleh, bijak, bebas dan berdaya usaha,” katanya.

Dr Hajah Mona Yati melihat masa depan syarikat berkenaan untuk mendirikan cawangan di tempat lain dan beliau berharap untuk membuka cawangan tersebut seboleh-bolehnya di luar negara.

“PAZ Tarbiyyah merupakan bukti pertama kami dan sedang dalam peringkat pengesahan. Ia berkemungkinan akan dilancarkan di seluruh negara serta tiga buah negara yang berpotensi pada tahun depan.

Pengasas PAZ Tarbiyyah berkata beliau bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah sebagai dermawan pusat tersebut.

Bagi mereka yang berminat, bolehlah melayari laman se-sawang http://paztarbiyyah.com bagi pendaftaran anak-anak mereka.