Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR – “Tak nak… tak nak… tak nak”. Anak kecil itu kelihatan memaut kuat kaki ayahnya sambil menangis teresak-esak. Si ayah cuba memujuk anaknya dan dengan lembut cuba melepaskan pautan tangan si kecil.
Senario ini lazim di pusat penjagaan atau pusat asuhan bila mana anak tidak mahu berpisah dengan ibu dan ayah. Seorang lagi bapa mendukung anak perempuannya yang masih tidur lena sambil tangan membuka pintu kereta untuk mengambil beg si anak. Masih waktu tidur bagi si anak tetapi dia perlu dihantar ke pusat penjagaan.
Di sebuah pusat penjagaan lain, si ayah berjalan di belakang anak perempuannya, sambil mata yang sayu memandang ke arah si ibu yang duduk di dalam kereta sambil menghalakan telefon bimbit ke arah anaknya. “Mungkin mahu menyimpan imej anak sebagai pengubat rindu!” bisik hati penulis yang sedang melakukan riadah berjalan pantas sambil mempercepatkan langkah.
Di dalam kawasan pusat penjagaan itu, sudah ramai anak kecil bermain sesama mereka. Ada juga yang duduk sendirian dengan wajah hiba.
Itulah sketsa pagi yang banyak menyimpan kisah anak kecil yang menjadi penghuni pusat penjagaan sehinggalah ibu dan ayah mengambil mereka pulang pada waktu petang.

Terpaksa
Tuntutan kehidupan membuatkan ibu dan ayah terpaksa meninggalkan mereka di pusat penjagaan dan kos untuk berbuat demikian bukannya murah, boleh mencecah ratusan ringgit. Bayangkan kalau ada dua atau tiga orang anak!
Rakan sekerja yang mempunyai dua orang anak terpaksa membayar RM750 untuk khidmat pusat penjagaan dan dikenakan bayaran sekitar RM5 untuk setiap 15 minit lewat mengambil anak selepas pukul 6 petang. Seorang lagi rakan sekerja membayar sekitar RM1,500 untuk tiga orang anak dan dikenakan bayaran RM10 sejam jika lewat mengambil anak seperti waktu yang ditetapkan.
Bagaimanapun, kedua-duanya berkata pihak pusat penjagaan jarang mengenakan caj tambahan. Keprihatinan yang sebegini sememangnya amat dialu-alukan. Itu baru kos menghantar anak ke pusat penjagaan dan belum lagi mengira kos pakaian, makan dan minum serta keperluan lain, untuk pelbagai peringkat umur anak!
Nampaknya semakin besar belanja untuk mempunyai anak dan hendaknya anak dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan tidak mengabaikan mereka pada usia senja mereka.
Pelbagai kerenah
Pelbagai kerenah untuk mengambil pembantu rumah membuatkan ramai ibu dan ayah yang bekerja memilih pusat penjagaan untuk menyelesaikan masalah tiada orang untuk menjaga anak. Kos mengambil pembantu rumah juga boleh mencecah ribuan ringgit. Laporan akhbar beberapa tahun lepas menyebut ada majikan Malaysia yang semakin terdesak untuk mendapatkan pembantu rumah sehingga sanggup membayar antara RM14,000 hingga RM15,000 kepada agensi pembantu rumah.
Cuma jika nasib tidak baik apabila pembantu rumah bertindak melarikan diri atau membuat onar, mencuri barangan berharga tuannya, malah sanggup mendera atau melarikan anak yang dijaga! Serik dengan kerenah pembantu rumah membuatkan ibu dan ayah yang bekerja memilih pusat penjagaan untuk anak mereka.
Bagaimanapun, ibu bapa masih perlu berhati-hati dalam memilih pusat penjagaan atau pusat asuhan untuk anak mereka. Beberapa kes dera anak yang ditinggalkan di pusat penjagaan pernah ditularkan dalam media sosial dan ini sudah tentu menggusarkan ibu bapa.

Di samping itu, ada pusat penjagaan atau pusat asuhan yang beroperasi secara haram iaitu tidak berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau tidak memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian berkenaan. KPWKM mengenalpasti kira-kira 152 buah Taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak di seluruh negara beroperasi secara haram antara tempoh 2014 hingga 30 Jun lepas.
Kemudahan
Ada juga ibu bapa yang bernasib baik kerana majikan tempat mereka bekerja menyediakan pusat penjagaan di dalam kawasan bangunan yang amat memudahkan untuk ibu atau ayah. Kalau hendak diikutkan sudah lama saranan dibuat supaya majikan menyediakan kemudahan ini, malah ada yang mencadangkan supaya majikan diberi pelepasan cukai untuk berbuat demikian.
Cuma belum ramai majikan baik di sektor awam mahu pun swasta yang menyahut seruan sedemikian, atas sebab-sebab tersendiri yang mungkin antaranya tiada ruang sesuai untuk menempatkan pusat penjagaan itu.
Pengiraan kos yang tinggi untuk menyediakan tempat penjagaan itu mungkin juga merencatkan perancangan, namun majikan perlu sedar pelaburan yang mereka mungkin terpaksa buat pada masa ini akan memberi pulangan besar pada masa akan datang. Langkah mereka mengadakan pusat penjagaan sudah tentu akan mengurangkan tekanan kepada pekerja mereka yang berdepan dengan masalah mencari tempat penjagaan anak.
Pekerja wanita pula tidak tertekan untuk berhenti kerja dan sebaliknya dapat meneruskan karier mereka serta menyumbang kepada bukan sahaja pengukuhan ekonomi keluarga tetapi juga syarikat dan negara.
Sayang sekali jika wanita yang bergelut dengan pelbagai jenis peperiksaan sehingga ke peringkat tinggi dan menyandang profesion yang bagus kedudukannya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak.
Mungkin tindakan sesetengah wanita berhenti untuk menjaga anak dilihat lebih mengimbangi keperluan mendidik sendiri anak. Memang bukan mudah untuk membuat keputusan seperti ini tambahan setelah bertahun-tahun belajar dan lebih parah apabila meminjam dan berhutang untuk belajar!
Tekanan kehidupan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat tanpa tanda-tanda untuk berkurangan menjadikan isu mengadakan pusat penjagaan di tempat kerja sebagai satu keperluan.
Pihak berwajib perlulah memikirkan lagi cara untuk majikan menyediakan pusat penjagaan anak dan isu ini tidak setakat menjadi polemik atau modal bercakap bila keadaan mendesak! – Bernama