Pusat penjagaan kanak-kanak ikut garis panduan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Dengan pelaksanaan fasa pertama de-escalation, pusat penjagaan kanak-kanak telah dibuka semula pada 8 Jun lalu dengan operasi berpandukan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Pemilik My Baby Genius Childcare di Kampung Kiarong, Pengiran Hajah Hajah Dewi Sarhani @ Pengiran Hajah Fatin Faezah binti Pengiran Haji Sarpudin ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana dapat beroperasi walaupun dengan kapasiti yang terhad.

Menjelaskan mengenai proses pembukaan semula pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan, beliau berkata, satu sijil khas akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) setelah pemeriksaan dibuat bagi kelulusan untuk dibuka.

“Untuk tahap pertama de-escalation ini, pusat penjagaan kanak-kanak hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 30 peratus dalam satu masa sebagai penjarakan fizikal dan hanya dibukakan untuk kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas dan tidak berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan berbahaya,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, beberapa langkah persediaan telah dibuat sebelum me-nerima kanak-kanak kembali.

Pengiran Hajah Hajah Dewi Sarhani @ Pengiran Hajah Fatin Faezah, bersama dengan kanak-kanak di My Baby Genius Childcare .

“Jika sebelum ini, pusat penjagaan akan menerima 20 orang kanak-kanak tapi setelah syarat dan garis pandu yang ditetapkan, pihak pusat memaklumkan kepada penjaga kanak-kanak untuk mendaftar awal anak-anak mereka untuk termasuk dalam kapasiti 30 peratus yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata seperti pemilik pusat penjagaan kanak-kanak lain beliau berdepan cabaran membayar sewa bangunan dan pekerja terpaksa dibayar penuh walaupun tidak mendapat pendapatan dalam tempoh tiga bulan yang lalu.

“Walaupun dengan kapasiti 30 peratus yang diberikan oleh pihak berkenaan setelah penelitian dibuat dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami bersyukur kerana dapat beroperasi walaupun dengan kapasiti yang terhad,” katanya lagi.

Manakala itu, Pengurus Besar Little Gems Daycare Kiarong, Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Haji Ahmad pula menjelaskan, pelbagai persiapan telah dibuat sebelum mereka menerima kemasukan semula kanak-kanak di pusat berkenaan.

Sebaik saja pusat penjagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi pada 16 Jun lalu dengan 30 peratus kapasiti saja, pemilik dan semua kakitangan pusat berkenaan telah menjalani swabbing sebagai langkah keselamatan dan juga lawatan daripada pihak JAPEM.

Beliau seterusnya menambah, pembukaan semula pusat penjagaan kanak-kanak ini memang dinantikan oleh ibu bapa yang bekerja dan memerlukan perkhidmatan pengasuhan anak-anak semasa mereka keluar bekerja.

“Walaupun hanya 30 peratus kapasiti yang diberikan untuk tahap pertama de-escalation, respons ibu bapa terhadap perkara ini diambil positif dalam sama-sama menjaga keselamatan anak-anak dan juga warga pusat berkenaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pusat mereka menggunakan kaedah yang dahulu didahulukan di samping memilih pakej yang disediakan sebagai mematuhi kapasiti yang telah ditetapkan.

Beliau seterusnya melahirkan harapan supaya akan ada peningkatan jumlah kapasiti setelah negara menampakkan penurunan kes COVID-19.

Ini, ujarnya, adalah untuk membantu penguasa pusat penjagaan kanak-kanak di negara ini untuk terus beroperasi sekali gus dapat mengekalkan jumlah kakitangan yang sedia ada, yang mana mereka terdiri daripada kalangan anak tempatan dan dalam masa sama membantu ibu bapa yang memerlukan khidmat penjagaan anak-anak dengan kadar yang berpatutan.

Sementara itu, salah seorang penjaga yang ditemui, Hajah Nor Bazilah binti Haji Daud, 32, melahirkan rasa syukur setelah pusat penjagaan kanak-kanak dibuka semula walaupun dengan kapasiti 30 peratus untuk tahap pertama de-escalation ini.