Pusat penjagaan kanak-kanak, OKU akan diperiksa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat orang kelainan upaya (OKU) akan mula dibuka semula esok (8 Jun) di mana kedua-dua fasiliti berkenaan akan beroperasi berpandukan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Pembukaan kedua-dua fasiliti berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sebagai mengambil langkah untuk melaksanakan fasa pertama de-escalation (Operational Readiness Level 1) atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Pembukaan semula pusat-pusat berkenaan diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerangkan bahawa sebanyak 43 buah pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar di bawah KKBS di mana statistik menunjukkan bahawa sekitar 550 orang kanak-kanak didaftarkan di bawah pusat-pusat berkenaan.

Bagi memastikan pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak selaras dengan syarat dan garis pandu yang dipersetujui bersama Kementerian Kesihatan, pihak KKBS akan membuat pemeriksaan ke atas premis-premis berkenaan bagi kelulusan untuk dibukakan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika sesi sidang media tersebut. – Gambar oleh Aziz Idris

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan lagi bahawa setelah diluluskan, pusat-pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan akan dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 30 peratus daripada kapasiti sebenar sahaja dalam satu masa dan ia hanya dibukakan kepada kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas yang tidak mempunyai simptom seperti demam dan selesema serta berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang berbahaya.

Aktiviti pusat juga ditumpukan kepada penjagaan sahaja di mana aktiviti perkembangan adalah dihadkan.

Manakala itu, bagi pusat OKU, ia dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 30 peratus sahaja dalam satu masa di mana fasiliti berkenaan hanya dibukakan kepada OKU pada tahap risiko rendah iaitu tidak mempunyai sebarang simptom demam, selesema, masalah pernafasan atau sebarang penyakit morbiditi seperti Epilepsy, Asthma dan Eczema, berupaya untuk berkomunikasi, berupaya untuk memelihara kebersihan diri dan mempunyai pengetahuan mengenai kesihatan diri sendiri serta mempunyai kefahaman mengenai risiko jangkitan COVID-19 dan langkah-langkah untuk menghindari penyebaran jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengingatkan para penjaga dan ibu bapa kanak-kanak berkenaan serta pengurus pusat-pusat tersebut untuk memuat turun aplikasi BruHealth bagi tujuan pendaftaran kod QR.

Beliau juga mengingatkan orang ramai khususnya individu-individu yang ada hubungan bersama golongan sasaran (vulnerable groups) untuk sentiasa berwaspada dan sama-sama membantu untuk mengamalkan tanggungjawab sosial, memastikan penjarakan fizikal serta memastikan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa demi memastikan keselamatan mereka dan setiap pihak.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah merujuk kepada garis panduan terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sidang media berkenaan turut menyatakan bahawa KKBS menyambut baik semangat orang ramai untuk terus bersenam dalam memelihara kecergasan masing-masing dan amat menggalakkan ia untuk diteruskan.

Walau bagaimanapun diingatkan bahawa perkumpulan secara beramai-ramai seperti di kawasan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah sebelum atau selepas senaman adalah tidak dibenarkan.

“Kita menegaskan bagi orang ramai untuk mempraktikkan garis pandu yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan,” tekannya.