Pusat perlindungan haiwan terima ‘Hadiah’

WASHINGTON, 28 DIS – Sebuah pusat perlindungan haiwan di Amerika Syarikat (AS) ‘terkejut’ selepas menerima lebih 800 ekor burung bayan (parakeet) semasa cuti hujung minggu yang dihantar dalam dua kelompok oleh anak kepada pemilik yang menyimpan semua burung tersebut dalam sebuah bilik.

Kumpulan Kebajikan Haiwan Detroit, yang beroperasi di wilayah utara Michigan, telah memaparkan di laman Facebook tentang ‘hadiah Krismas yang tidak kami jangka’ dan mengatakan ‘burung tersebut datang dalam keadaan yang tidak sihat’.

Dikatakan kelompok pertama mengandungi 497 ekor burung telah diserahkan pada 23 Disember dan dikumpulkan dalam tujuh sangkar. Anak kepada pemilik kemudian datang semula dengan tambahan 339 ekor burung pada Ahad.

“Tindakan tidak bertanggungjawab pemiliknya amat menjengkelkan,” kumpulan itu menulis di laman Facebook, berkata burung-burung itu ‘melemaskan antara satu sama lain dan memerlukan bantuan segera.’

“Kami terkejut,” katanya. “Tetapi tidak dapat menolak mereka.”

Bekerjasama dengan beberapa organisasi tempatan lain, kumpulan itu berjaya menemukan tempat tinggal sementara bagi burung bayan itu.

Kumpulan penyelamat AS dikejutkan dengan ‘hadiah’ berupa 800 ekor burung bayan (parakeet) iaitu sejenis burung dari keluarga burung kakak tua.

“Ia benar-benar memerlukan satu kampung untuk menolong haiwan ini,” katanya.

Pengarah kumpulan penyelamat, Kelly LeBonty memberitahu akhabar tempatan, Detroit Free Press bahawa ‘burung-burung tersebut sangat tertekan’.

“Kebanyakannya sukar bergerak. Kami perlu mengeluarkan unggas ini dan memindahkan ke sangkar yang berasingan.”

Anak kepada pemilik itu memberitahu LeBonty bahawa dia percaya bapanya hanya merancang untuk membiak beberapa ekor burung, tetapi ia tidak dapat dikawal, dan dia kini membelanjakan AS$1,200 sebulan untuk memberi makan kepada semua burung tersebut.

Burung bayan itu, dalam foto tersebut, ada yang kelihatan cedera atau kekurangan zat makanan yang dimuat naik oleh kumpulan itu, akan tersedia untuk diambil selepas ia dinilai oleh doktor haiwan. – AFP