Pusat PRIHATIN ABDB dilancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Pusat PRIHATIN ABDB merupakan salah satu inisiatif dalam memusatkan semua aduan dan pertanyaan berkaitan dengan hal ehwal kebajikan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta memberi perkhidmatan khusus melalui kaedah alternatif Aplikasi Kesejahteraan Tentera.

Sehubungan itu, Pusat PRIHATIN ABDB telah dirasmikan di bangunan yang sebelumnya dikenali sebagai Pusat Kaunseling ABDB, Bolkiah Garison, hari ini, di mana majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Kesejahteraan ABDB dan Buku Strategi dan Pelan Tindakan Kebajikan ABDB 2020.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian serta pelancaran pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta lain-lain peringkat ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Operasi Agama Jabatan Agama ABDB, 995 Kapten Mohammad Ayza Azrine bin Ayahan dan diikuti dengan upacara penandatanganan plak yang disempurnakan oleh Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bagi merasmikan pembukaan pusat berkenaan.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan mengagih Buku Panduan Kesejahteraan ABDB serta Buku Strategi dan Pelan Tindakan Kebajikan ABDB 2020 kepada pemerintah-pemerintah angkatan tentera.
Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan ketika merasmikan Pusat PRIHATIN ABDB di Bolkiah Garison, kelmarin.

Majlis kemudian menyaksikan pelancaran Aplikasi Kesejahteraan Tentera, pertunjukan demonstrasi tatacara pengendalian aduan dan pertanyaan di Sel Koordinasi Aplikasi Kesejahteraan Tentera serta diikuti dengan lawatan ke Koridor PRIHATIN, Pusat PRIHATIN ABDB.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan turut melancarkan Buku Panduan Kesejahteraan ABDN serta Buku Strategi dan Pelan Tindakan Kebajikan ABDB 2020 yang kemudiannya diagih-agihkan kepada pemerintah-pemerintah angkatan tentera serta pengarah-pengarah ABDB.

Pada peringkat awal, sasaran Buku Strategi dan Pelan Tindakan Kebajikan ABDB 2020 adalah anggota yang baru berkhidmat di bawah lima tahun termasuk pegawai kadet dan rekrut.

Pelancaran kedua-dua buku berkenaan bertujuan bagi meningkatkan tahap pengawasan dan ilmu mengenai hal ehwal kebajikan serta tatacara pengurusannya.

Ia juga merupakan pengemaskinian strategi-strategi kebajikan dan penghasilan pelan tindakan yang bersesuaian ke arah meningkatkan mutu hal ehwal kebajikan anggota ABDB berserta keluarga.