Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Tingkat aras bawah Fitness Zone kini telah diubah suai untuk menyediakan penyelesaian sehenti bagi kanak-kanak di mana, selain Energy Kitchen yang sedia ada, juga terdapat Sekolah Muzik Yippy Tune, kedai perabot Tomato Kidz/Nori-Dori dan Studio Seni Jem (Art Jam Studio) Jo-Art.
Majlis perasmiannya telah diadakan hari ini, di tingkat aras bawah Fitness Zone, Kiulap, dan hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama merasmikan pembukaan Sekolah Musik Yippy Tune, Jo-Art dan Tomato Kidz/Nori-Dori ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Di majlis itu, Yang Berhormat Dato memotong reben bersama Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun dan juga pemilik-pemilik perniagaan yang lain di aras bawah Bangunan Fitness Zone, Kiulap.
Ini merupakan kerjasama kali pertama seumpamanya di Brunei, di mana perniagaan berbeza yang mempunyai sifat sama datang bersama-sama untuk memenuhi keperluan para pelanggan kolektif mereka.
Wu Chun dalam kenyataan akhbar, menyatakan bahawa keseluruhan bangunan Fitness Zone yang merangkumi kawasan seluas 5,000 kaki persegi, didedikasikan untuk konsep terbuka ini yang menghubungkan Energy Kitchen dengan ketiga-tiga pertubuhan perniagaan kanak-kanak yang lain untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh, bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi untuk seisi keluarga.
“Sementara ibu bapa berada di tingkat atas untuk bersenam di gim, anak-anak boleh belajar muzik di Sekolah Muzik Yippy Tune atau belajar bagaimana untuk melukis dengan Jo-Art.
“Selain itu, ibu bapa yang ingin berehat sambil menunggu anak-anak mereka menjalani pembelajaran, mereka boleh menikmati makanan sihat di Energy Kitchen diikuti dengan berbelanja untuk anak-anak, daripada perabot kanak-kanak, mainan, alat tulis, hingga ke pakaian kanak-kanak dari Korea,” jelas Wu Chun.
Wu Chun yang juga merupakan pemilik Energy Kitchen telah membantu mengubah suai menu mereka dengan bahan-bahan terbaik yang disediakan bagi hidangan kanak-kanak.
Melalui usaha ini, kumpulan pemilik perniagaan berkenaan berharap untuk memupuk budaya yang lebih baik bagi menghargai seni dan muzik, memupuk kreativiti dan pada masa yang sama menggalakkan gaya hidup sihat dengan matlamat untuk melakukan kerja mereka bagi membangunkan bakat bagi masa depan negara.
Dari sudut perniagaan, para pemilik berharap untuk dapat memupuk semangat kerja berpasukan untuk saling menyokong setiap pertubuhan masing-masing dengan secara kolektif membawa lebih banyak orang ramai serta memberikan rujukan kepada satu sama lain.
Bagi Sekolah Muzik Yippy Tune, dengan cawangannya di Gadong Central mencapai kapasiti penuh dengan lebih 450 orang pelajar, ia merupakan jalan penyelesaian bagi menampung pertumbuhan pelajar.
Menurut Pengetua Sekolah Muzik Yippy Tune, Deon Ong, matlamat cawangan baru berkenaan adalah untuk memberi tumpuan dalam menyediakan kelas kumpulan untuk kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun.
Bagi Tomato Kidz, kedai perabot yang kini berpindah ke bangunan Fitness Zone dan menjenamakan semula namanya sebagai Nori-Dori untuk memasukkan pelbagai jenis gaya hidup yang lebih luas seperti mainan, buku, alat tulis, dan aksesori kanak-kanak sambil mengekalkan penjenamaan Tomato Kidz untuk bahagian perabotnya.
Menurut Pengarah Urusan Nori-Dori, Sebastian Yeoh, Nori-Dori telah mencatatkan pertumbuhan perniagaan dalam beberapa minggu yang lalu sejak penempatan barunya dan akan terus memperluaskan perniagaannya untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang datang ke pusat berkenaan.
Manakala itu, Pengasas Jo-Art, Jo Jo Yim pula berkata, “selain membantu mengembangkan kreativiti melalui proses melukis, kami mengajar teknik-teknik kepada para pelajar untuk meningkatkan lagi kualiti karya seni mereka ke tahap profesional.”
Ini merupakan tahun ke-10 Jo-Art beroperasi di Brunei dengan cawangan keduanya di bangunan Fitness Zone berkenaan, Jo Jo Yim berharap untuk menggunakan konsep terbuka Seni Jem untuk membantu memupuk ikatan yang lebih kuat antara pelukis-pelukis dan menyediakan platform bagi individu untuk mengekspresikan diri mereka dan berkongsi pengetahuan antara satu sama lain.