Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat sehenti pelancongan dibina di Semporna

    SEMPORNA, 16 Okt – Pendapatan sektor pelancongan di Semporna bakal meningkat dengan pembinaan Pusat Sehenti Pelancongan di tanah seluas lima ekar milik Pemasaran Ikan Sabah (Safma), kata Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban.

    Beliau berkata pembinaan pusat dianggarkan bernilai RM100 juta itu akan dimeterai antara Warisan Harta Sdn Bhd dan Safma pada 24 Oktober ini bagi menjayakan pelaksanaan projek yang terbahagi kepada empat komponen.

    Katanya, pelan bangunan projek berkenaan telah siap dan mengandungi empat komponen utama iaitu pembinaan hotel 16 tingkat, pusat konvensyen, pangkalan kapal persiaran (marina), dan ruang parkir selesa.

    “Melalui kewujudan pusat ini kita akan menjana pendapatan yang banyak bukan sahaja kepada Warisan Harta atau Safma sendiri tetapi juga sektor pelancongan negeri dan juga ekonomi masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau yang juga wakil rakyat Bugaya itu berkata projek berkenaan kelak akan terus membina imej daerah ini sebagai kawasan pelancongan terkenal sekali gus menjadi destinasi pilihan pelancong luar dan dalam negara.

    “Semporna memerlukan pusat pelancongan bagi membolehkan usaha mempromosi pelancongan yang akan menjadi tambah nilai dan menarik pelabur luar,” katanya.

    Ramlee yang juga Pengerusi Warisan Harta berkata kawasan itu kelak juga akan memudahkan para pelancong untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan aktiviti pelancongan di daerah ini.

    “Kita mahu agar sektor pelancongan di daerah ini lebih teratur dan kita mahu agar setiap pelancong yang datang ke sini lebih tersusun,”katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, kawasan pusat sehenti itu juga boleh digunakan sebagai tapak penganjuran bagi pesta Regata Lepa yang diadakan setiap tahun di daerah ini ke arah mempromosi budaya dan adat masyarakat.

    “Kita akan bina pusat ini yang boleh digunakan sebagai kawasan penganjuran Regata Lepa ke arah mempromosi budaya yang juga menjadi salah satu daya tarikan di daerah ini,” katanya lagi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda