Pusat sejarah Brunei dibuka semula

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Pusat Sejarah Brunei kini membuka semula galeri-galeri pamerannya berikutan pengumuman pelan de-escalation tahap pertama bagi pusat kegiatan warga emas (PKWE), muzium-muzium, galeri-galeri pameran dan perpustakaan.

Semasa tinjauan pihak Media Permata ke Pusat Sejarah Brunei di ibu negara hari ini, Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh mengongsikan bahawa Galeri Pusat Sejarah akan dibuka pada setiap Selasa dan Khamis sahaja bermula 8 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang.

Sementara itu pada Ahad, galeri berkenaan juga akan dibuka bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Awang Hanafi turut menjelaskan bahawa pada tahap pertama ini, hanya sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti pengunjung di galeri tersebut yang akan dibenarkan masuk pada satu-satu masa iaitu 24 orang sahaja memandangkan kapasiti ruangan galeri tersebut hanya dapat menampung seramai 80 orang dalam satu masa pada biasanya.

Walau bagaimanapun, beliau menambah, 24 orang pengunjung yang dibenarkan masuk tersebut kemudiannya akan dibahagikan lagi kepada tiga kumpulan yang mana setiap kumpulan hanya terdiri daripada lapan orang ahli bagi mengunjungi satu-satu ruang galeri di pusat sejarah tersebut.

Awang Hanafi ketika ditemu bual oleh pihak media mengenai pembukaan Galeri Pusat Sejarah.
Antara yang dipamerkan di Pusat Sejarah Brunei.

Selain itu setiap lawatan persendirian mahupun berkumpulan hanya akan dibenarkan berada di sana dalam masa satu jam sahaja.

Sebagai langkah pencegahan penularan wabak, orang ramai yang mengunjungi galeri Pusat Sejarah disarankan untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung serta mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan dengan mencuci tangan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan.

Di samping itu, setiap pe-ngunjung juga akan terlebih dahulu diperiksa suhu badan di pintu masuk Bangunan Pusat Sejarah dan diarahkan untuk mengimbas aplikasi BruHealth mereka sebelum dibenarkan masuk di mana hanya me-reka yang mempunyai kod hijau dan kuning sahaja akan dibenarkan.

Para pengunjung yang mengalami gejala sakit juga tidak akan dibenarkan masuk manakala para pengunjung turut dinasihatkan untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang sentuhan dan kontak fizikal.