Pusat Servis Jeep & Alfa Romeo serba baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – GHK Motors Group Company selaku pengedar tunggal jenama Fiat Chrysler Automotive (FCA) di Negara Brunei Darussalam, membukakan Pusat Servis Jeep & Alfa Romeo serba baharu di kawasan Perindustrian Beribi mulai esok, 17 Julai.

Bangunan berkeluasan lebih 7,000 kaki persegi itu menggunakan rekaan green field yang menampilkan teknologi dan kelengkapan terkini mesra alam bagi memenuhi keperluan servis dan pembaikan kesemua kenderaan Jeep serta Alfa Romeo.

Ia mampu menampung 10 ruang servis kenderaan, bengkel, ruang diagnostik, pusat komponen kenderaan, surau dan ruangan tamu.

Kemudahan serba canggih itu turut menyediakan ruangan tetamu dilengkapi sambungan Wi-Fi percuma dan port serta palam bagi pengecasan tanpa wayar untuk memudahkan para pelanggan yang menunggu kenderaan mereka disiapkan.

Pelanggan juga boleh menikmati ‘servis urut’ apabila berpeluang menggunakan kerusi urut canggih disediakan di pusat berkenaan, selain menempatkan televisyen serta stesen kopi dan teh percuma.

Pusat Servis Jeep & Alfa Romeo serba baharu yang dibuka bermula hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurut kenyataan daripada pihak pengurusan syarikat itu, mereka memilih untuk membina dan melabur dalam pusat serba baharu itu untuk menyediakan persekitaran dan kemudahan lebih kondusif agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pemilik Jeep dan Alfa Romeo.

Pusat itu juga akan digunakan sebagai hab komuniti Jeep bagi sebarang perjumpaan, perbincangan mengenai sebarang jelajah dan kembara bersama.

Kemudahan itu juga membolehkan GHK Motors menyediakan perkhidmatan lepas jualan bagi memenuhi harapan dan keyakinan pemilik kedua-dua kenderaan itu.

Selain mempunyai bangunan baharu, syarikat auto itu juga melabur dalam latihan dan pemerolehan alat bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan kereta lebih teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Para pemilik dan bakal pelanggan kenderaan Jeep dan Alfa Romeo dialu-alukan untuk mengunjungi pusat tersebut bagi mendapatkan pengalaman secara langsung mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan.

Dalam pada itu, sempena pembukaan itu, GHK menawarkan promosi istimewa bagi pelanggan yang membuat temu janji servis manakala bagi orang ramai yang ingin mengetahui promosi itu, bolehlah menghubungi pusat itu atau melayari laman sesawang GHK.