Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kelab Lions Bandar Seri Begawan (BSB) dan Kelab Leos Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) menyumbangkan pelbagai barangan preloved seperti pakaian, buku, peralatan dapur, kerusi roda dan tongkat kepada Pusat SMARTER BACA di Sungai Hanching, hari ini.
Naib Presiden SMARTER Brunei, Mejar (B) Muhd Talip bin Muhd Tahir telah menerima sumbangan berkenaan bagi pihak pusat dan mengucapkan terima kasih kepada Kelab Lions BSB dan Kelab Leos ISB kerana menyokong pusat tersebut.
Beliau mengongsikan bahawa kos operasi bulanan pusat berkenaan agak tinggi dengan peningkatan jumlah pelajar.
Sokongan masyarakat amat dihargai dan beliau berkata, pusat itu menerima sumbangan pelbagai jenis barangan terpakai daripada orang ramai, yang mereka jual dalam jualan garaj biasa mereka untuk mengumpul dana bagi pusat tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Lions BSB, Sunil Ramchandani dalam ucapan ringkas mengulangi sokongan berterusan kelab itu sebagai sebahagian daripada visinya untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui pelbagai projek jangkauan (outreach).
Presiden Kelab Leos ISB, Leo Libby Soh pula berkata, ahli pelajar Kelab Leos berbesar hati menyokong pelajar SMARTER melalui sumbangan barangan terpakai sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul dana pusat itu.