Pusat sukan, kegiatan, penjagaan kanak-kanak, kaunter KKBS ditutup

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Berikutan dengan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan penutupan sementara fasiliti-fasiliti dan premisnya berkuat kuasa 7 Ogos sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KKBS menjelaskan bahawa penutupan berkenaan termasuk pusat-pusat sukan tertutup (jim, pusat kecergasan, kolam renang dan pusat-pusat boling), pusat-pusat sukan luar termasuk outdoor playground, padang golf, Pusat Kegiatan Warga Emas (Pkwe); muzium-muzium, galeri pameran dan perpustakaan, pusat-pusat orang kelainan upaya (termasuk Pusat Bahagia di keempat-empat daerah), pusat-pusat penjagaan kanak-kanak serta kaunter-kaunter perkhidmatan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Kenyataan menjelaskan lanjut, kaunter-kaunter yang ditutup sementara ialah Kaunter Unit Kewangan, Tingkat 1, KKBS; Kaunter Permohonan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB); Kaunter Permohonan Pencen Umur Tua, Pencen Orang Buta, Pencen Hilang Upaya, Elaun Bercelaru Mental, Elaun Kusta dan Elaun Kurang Upaya; Kaunter Pendaftaran Anak Yatim; Kaunter Pendaftaran Pusat Penjagaan Kanak-kanak; Kaunter Perkhidmatan Pentadbiran dan Kewangan; Kaunter Unit Hasil, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Belia dan Sukan.

Manakala di Dewan Bahasa dan Pustaka, antara yang kaunter yang ditutup sementara ialah Unit Kewangan, Unit Perlaksanaan Bahasa dan Unit Jawi, Unit Terjemahan, Bahagian Perancangan Buku serta semua perpustakaan dan perkhidmatan kaunter namun perkhidmatan dalam talian berjalan seperti biasa.

Jabatan Muzium-Muzium juga akan menutup sementara kaunternya iaitu Kaunter Perkhidmatan Akses dan Rujukan Arkib Negara; Kaunter Penerimaan Fail Arkib Negara; Kaunter Perkhidmatan dan Akses Perpustakaan Jabatan Muzium-Muzim.

Pusat Sejarah Brunei pula menutup Kaunter Unit Kewangan, Kaunter Rujukan Perpustakaan dan Kaunter Rujukan Pusat Pengkajian Borneo. Kaunter Perkhidmatan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Bahagian Khidmat Bakti Negara, KKBS juga ditutup buat sementara waktu.

Sehubungan dengan itu, KKBS memaklumkan orang ramai serta penganjur-penganjur bahawa acara-acara kebudayaan, kemasyarakatan, kebeliaan dan kesukanan adalah tidak dibenarkan dan untuk ditangguhkan buat sementara waktu.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Gerakan COVID-19 KKBS di talian 2382130 pada waktu bekerja.

Pusat-pusat sukan termasuk kolam renang akan ditutup sementara sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian.