Pusat swab BRIDEX kendali 540 ujian sehari

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Pusat swab pandu lalu BRIDEX mula beroperasi hari ini dengan menyediakan satu lagi kaedah bagi orang ramai yang perlu menjalani ujian swab bagi mendapatkan keputusan jangkitan koronavirus.

Pusat itu berupaya mengendalikan 270 slot tempahan melalui aplikasi QueUp dan hanya dua orang dalam sebuah kenderaan dibenarkan untuk mendapatkan ujian iaitu pemandu dan seorang penumpang.

Sehubungan itu, ia mampu mengendalikan ujian swab bagi seramai 540 orang sehari, jelas Pengurus Projek, Konsultan Gred 2, Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr Maisalamah binti Haji Taha dalam temu bual bersama Media Permata di pusat itu di BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Beliau menerangkan lanjut bahawa pusat berkenaan beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam di mana setiap hari jumlah slot yang dibuka adalah sebanyak 270 slot dan setiap slot adalah tempahan bagi dua orang pemohon yang hendak menerima ujian swab.

“Ini bermakna ada 540 orang pemohon yang boleh diberikan ujian swab.

Petugas kesihatan melakukan ujian swab ke atas seorang penumpang di pusat swab pandu lalu BRIDEX yang baru beroperasi kelmarin.
Petugas kesihatan melakukan ujian swab ke atas seorang penumpang pada hari pertama pusat swab pandu lalu BRIDEX beroperasi, kelmarin.

“Bagi setiap tempahan, kami ingin mengingatkan lagi supaya para pemohon memberikan maklumat yang penuh seperti nama, nombor BruHims dan nombor kad pengenalan yang betul bagi kedua-dua (pemandu dan penumpang) dalam sebuah kereta yang ingin melalui ujian swab,” tambahnya.

Beliau berkata bahawa maklumat yang betul berkenaan adalah amat penting untuk memudahkan proses pendaftaran dan supaya tempoh menunggu giliran tidak lama.

Tempahan bagi mendapatkan ujian swab melalui pandu lalu berkenaan hendaklah dibuat menerusi aplikasi QueUp di mana hanya satu tempahan sahaja perlu di buat bagi setiap
kenderaan.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan tersebut hanya diberikan kepada penumpang yang berumur 12 tahun ke atas sahaja serta pemandu dan penumpang mestilah mempunyai nombor Bru-HIMS yang sah.

Bagi pemandu dan penumpang yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning, mereka hendaklah tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak.

Pusat swab itu juga menerima mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah iaitu mereka yang diarahkan untuk menjalani ujian swab.

Namun begitu, pusat berkenaan bukannya untuk mana-mana individu yang memerlukan ujian swab bagi tujuan keluar negara atau pre-departure swab.

Pusat swab pandu lalu berkenaan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.