Thursday, October 5, 2023
23.8 C
Brunei

    -

    Pusat swab pandu lalu di Seria beroperasi hari ini

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Untuk meningkatkan kapasiti ujian swab bagi SARS-CoV-2, sebuah lagi pusat swab menggunakan kaedah pandu lalu akan mula beroperasi esok di Daerah Belait.

    Pusat swab yang ditempatkan di Pusat Insani, Seria itu akan beroperasi sebagaimana tatacara di Pusat Swab Pandu Lalu Bridex, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengumumkan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut, perkhidmatan tersebut hanyalah bagi mereka yang mempunyai nombor BruHIMS yang sah sahaja dan hanya dua orang dibenarkan untuk mendapatkan ujian swab di dalam sebuah kenderaan (iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang).

    Walau bagaimanapun, perkhidmatan itu hanya akan diberikan kepada penumpang yang berumur 12 tahun ke atas sahaja dan hanya satu tempahan sahaja perlu dibuat bagi setiap kenderaan yang mana tempahan boleh dibuat melalui aplikasi QueUp.

    Perkhidmatan di pusat itu dibukakan kepada orang ramai tanpa mengira warna kod BruHealth. Tetapi pemegang kod BruHealth berwarna ungu dinasihatkan untuk datang antara 5 petang hingga 7 malam sahaja.

    Gambar fail menunjukkan petugas menjalankan ujian swab di Pusat Swab Pandu Lalu BRIDEX, Jerudong pada hari pertama pembukaannya.

    Perkhidmatan di pusat tersebut bukanlah untuk mana-mana individu yang memerlukan ujian bagi tujuan keluar negara atau pre-departure swab. Ujian bagi tujuan keluar negeri atau pre-departure swab boleh diperolehi di pusat-pusat swab lain sebagaimana lazimnya.

    “Pusat Swab Pandu Lalu Pusat Insani, Seria ini akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu sahaja, dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

    Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan-sukarelawan tanah air yang terdiri daripada belia-belia, pihak NGO dan kakitangan kerajaan yang telah tampil berganding bahu dan bertungkus lumus menjalankan pelbagai tugas.

    “Kesanggupan, komitmen dan semangat tolong-menolong yang mereka telah tunjukkan selayaknya mendapat pujian. Saya difahamkan bahawa setakat ini, para sukarelawan telah membuat penghantaran catuan makanan kepada hampir 5,000 buah rumah di seluruh negara.

    “Oleh itu, orang ramai yang berhadapan dan berurusan dengan mereka diminta untuk memberikan kerjasama dan memperlakukan mereka dengan hormat dan sopan santun.

    “Belia-belia sukarelawan ini mewakili pihak kerajaan semasa melaksanakan tugas-tugas yang diberikan, mengikut SOP yang telah disediakan,” jelas tegas beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Penerbangan dibatalkan dan sekolah ditutup di Taiwan

    TAIPEI, 4 OKT - Penerbangan dibatalkan dan sekolah ditutup di beberapa bahagian di Taiwan pada hari ini ketika pulau itu bersiap sedia menghadapi angin...