Pusat Vaksinasi bergerak: Sambutan di luar jangkaan

Oleh Daniel Lim
Gambar oleh Daniel Lim & Nuurol Bahiyah

BELAIT, 11 OKT – Perkhidmatan vaksinasi bergerak pertama yang bermula di kawasan luar bandar Belait di Mukim Labi, hari ini, telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ramai orang.

Dijalankan di Klinik Kesihatan Labi, hari pertama perkhidmatan berkenaan telah menyaksikan jumlah besar penduduk dari kawasan sekitar Mukim Labi datang mendapatkan vaksinasi, termasuk mereka yang datang terus dan yang telah menempah slot lebih awal.

Ketua perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di klinik berkenaan, Dr Haji Elham bin Haji Mohd Ismail, yang mengetuai pusat vaksinasi bergerak selama tiga hari itu, ketika ditemui menjelaskan bahawa perkhidmatan berkenaan adalah khusus bagi penduduk yang tinggal di kawasan Mukim Labi, Mukim Bukit Sawat serta di kawasan luar bandar yang dapat datang ke klinik berkenaan.

Menurutnya, klinik berkenaan mempunyai minimum 50 slot dibuka setiap hari tetapi kapasiti sebenarnya akan bergantung pada bekalan dan permintaan setiap hari.

Katanya lagi, jika proses pemberian vaksin berkenaan berjalan lancar, mereka akan dapat meningkatkan jumlah penduduk yang menerima vaksin setiap hari kepada 70, 80 atau 100 orang.

Dr Haji Elham ketika ditemui media pada hari pertama perkhidmatan vaksinasi bergerak di Mukim Labi, kelmarin.
Orang ramai berbaris di luar Klinik Kesihatan Labi untuk mendapatkan vaksin.

Di samping usaha pegawai-pegawai perubatan dan anggota daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan sukarelawan untuk memastikan kelancaran operasi di pusat itu,

Dr Haji Elham juga menekankan kepentingan kerjasama rapat antara pusat itu dengan penghulu mukim dan ketua kampung.

“Dari Mukim Labi sahaja, terdapat lebih 150 orang penduduk di samping sejumlah penduduk dari Mukim Bukit Sawat dan Mukim Merangking yang telah menempah slot bagi vaksinasi, yang akan dilaksanakan dalam masa tiga hari,” tambah beliau.

Dalam menjelaskan mengenai pusat vaksinasi bagi kawasan luar bandar, Dr Haji Elham juga menekankan mengenai usaha yang sedang dilaksanakan bersama ABDB bukan sahaja dalam menyediakan pengangkutan malahan membantu membuat kunjungan ke rumah-rumah bagi mereka yang tidak dapat pergi ke pusat tersebut.

Ditanya mengenai apa yang akan berlaku selepas tiga hari, beliau berkata bahawa bagi pusat vaksinasi bergerak itu, bergantung pada keperluan (vaksinasi penduduk), jika slot tidak mencukupi dalam tempoh itu mereka akan terus membukanya bagi memenuhi permintaan.

Sementara itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput menyampaikan penghargaan dan terima kasih bagi pihak penduduk kampung kepada Kementerian Kesihatan kerana menjalankan pusat vaksinasi bergerak berkenaan, terutamanya di kawasan luar bandar di mana akses kepada vaksin adalah terhad disebabkan pelbagai masalah.

Mengulas mengenai perkhidmatan berkenaan pada hari pertama hari ini, Yang Berhormat Awang Hanapi berkata bahawa sambutannya adalah di luar jangkaan mereka, kerana bukan sahaja penduduk yang telah membuat tempahan mendapatkan vaksin malah jumlah besar penduduk yang datang terus.

Menurutnya, masih ramai penduduk di kawasan itu yang belum mendapatkan vaksin oleh itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan akan bertindak sebaiknya untuk memenuhi
permintaan berterusan bagi vaksin.