Pusat vaksinasi Jubli Emas bunut beroperasi esok

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa bermula esok (16 Ogos), kesemua perkhidmatan iaitu Klinik Umum, Klinik Ibu dan Anak, Perkhidmatan Pengambilan Darah dan Perkhidmatan Farmasi di Pusat Kesihatan Jubli Emas Bunut dipindahkan ke Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa pemindahan sementara berkenaan adalah berikutan dengan situasi jangkitan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan juga memaklumkan bahawa Pusat Kesihatan Jubli Emas Bunut akan mula beroperasi sebagai pusat vaksinasi iaitu bagi pemberian suntikan COVID-19 bermula 17 Ogos.

Pusat Vaksinasi Jubli Emas Bunut itu beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang serta tutup pada Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam.

Orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di pusat berkenaan adalah dikehendaki untuk membuat tempahan terlebih dahulu melalui aplikasi BruHealth.

Individu yang sudah mempunyai slot suntikan perlulah terlebih dahulu membatalkan perjanjian bagi suntikan vaksinasi jika mereka sedang menjalani Perintah Kurantin atau sebarang Notis Pengasingan Diri.

Manakala itu, bagi individu yang mempunyai perjanjian di Pusat Vaksinasi Jubli Emas Bunut itu nanti juga dinasihatkan untuk hadir satu jam sahaja sebelum perjanjian bagi mengelakkan daripada kesesakan di pusat vaksinasi berkenaan.

Kerjasama dan kefahaman orang ramai dalam perkara berkenaan adalah sangat-sa-ngat diharapkan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.