Pusingan penyingkiran Bintang Search kembali

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPTBintang Search Edisi Teranah di Rumah menjadi program hiburan yang paling banyak ditonton di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini walaupun dengan format penggambaran dari rumah. 

Pertunjukan berkenaan telah meraih sebanyak lebih 800,000 tontonan melalui pelbagai platform dalam talian termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok, yang mana ia merupakan suatu yang cukup menakjubkan.

Bintang Search 2021 akan memulakan pusingan kompetitif pada Konsert Bintang Search Minggu ke-3 yang akan berlangsung pada 12 September ini.

Pengendali acara, Dayang Siti Kamaluddin mengongsikan bahawa pada program tahun ini, mereka terus menyesuaikan diri untuk menjadikan Bintang Search terus relevan lebih-lebih lagi dengan situasi semasa yang sedang dihadapi negara.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk menyambung kembali aspek persaingan dalam acara tersebut.

Pengundian Konsert Bintang Search Konsert ke-3 akan terus dibuat menerusi SMS bersama imagine Sdn Bhd. Pengundian tetap sama iaitu hanya membenarkan sekali undian bagi satu nombor yang digunakan untuk membuat undian tersebut. 

Sementara itu, semasa result show, hanya terdapat seorang pemenang mingguan dan seorang peserta akan disingkirkan.

Salah seorang peserta Bintang Search edisi kali ini, Jabby Abdullah mengongsikan perasaan gementarnya apabila mendengarkan bahawa akan ada peserta yang akan disingkirkan pada pusingan seterusnya.

“Walau bagaimanapun, kami telah menikmati masa selama empat minggu untuk menyanyi dan menghasilkan video dari rumah dan saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali dalam pertandingan. Jadi, walaupun saya gementar, pada masa yang sama ia juga membuatkan saya berasa teruja,” tambahnya.

Perkara sama turut dikongsikan oleh hos Bintang Search, Fatin Faesal yang menyatakan bahawa ia adalah suatu perkara yang agak berat bagi mereka setelah bersama 16 peserta selama sebulan dan telah mengenali mereka lebih dalam.

“Cukup sukar untuk mengumumkan hasil penyingkiran secara bersemuka dan saya dapat membayangkan ini dua kali lebih mencabar menjadi penyampai berita buruk,” jelas Fatin.

Bintang Search merangkumi lima episod dalam seminggu iaitu Road to Bintang- Vocals, Road to Bintang- Looks, Road to Bintang- Fitness, Bintang Search Result dan Elimination Show di samping Konsert Bintang Search yang bersiaran setiap Ahad.