Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Pasukan Kasuka dan Ar Rawda tidak menghadapi masalah untuk melangkah mara ke pusingan kedua selepas menjuarai Kumpulan B pada persaingan Futsal Piala Keputeraan 2024 di Dewan Tertutup Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Kejayaan skuad finalis Liga Futsal Brunei 2023 itu memenangi ke semua perlawanan dengan mengutip 15 mata maksimum sementara pasukan BK FT B menduduki di tempat ke dua dengan 9 mata.
Selain itu, pasukan MS ABDB dan Brunei 88 turut berpuas hati mara ke pusingan kedua mewakili kumpulan B.
Awal dari itu, pasukan BK FT A, RBSM C, Titik Kota FT masing-masing berkongsi 11 mata dan pasukan S5R berjaya mengiringi pasukan tiga teratas itu untuk mewakili Kumpulan A.
Sementara itu, persaingan menarik dalam kumpulan C telah menyaksikan pasukan Sport Guy berada di puncak kumpulan sambil pasukan HLDM City FC dari Lawas, Sarawak berjaya mengutip 10 mata dan pasukan SU FC dan GG FT juga tidak kempunan untuk melangkah persaingan pusingan kedua.
Peringkat pusingan kedua, suku akhir dan peringkat akhir akan berlangsung pada minggu hadapan.
Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2024 itu menjadi cabaran kepada 24 pasukan tempatan termasuk pasukan elit dari Sabah dan Sarawak yang akan mengikuti berbagai kejohanan futsal peringkat yang lebih mencabar.
Kejohanan berkenaan juga dianjurkan sebagai salah satu acara bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang ke-78.
Sebahagian daripada aksi semasa kejohanan berkenaan.