Putera Andrew terima surat saman

NEW YORK, 12 SEPT – Pihak mahkamah Amerika Syarikat (AS), semalam mengesahkan sudah menyerahkan surat saman kepada Putera Andrew dari Britain membabitkan kes tuduhan penderaan seksual seorang wanita ketika mangsa di bawah umur.

Menurut afidavit yang difailkan di Daerah Selatan New York, tuntutan saman itu turut diserahkan ke kediaman diraja di Windsor, England, pada 27 Ogos lalu.

Kes difailkan mangsa, Virginia Giuffre, yang mendakwa dirinya ‘dipinjamkan’ bagi aktiviti seks bawah umur oleh mendiang pelabur kewangan AS, Jeffrey Epstein kepada Andrew.

Menurut wakil Giuffre melalui afidavit, tuntutan saman itu hanya diserahkan kepada pegawai polis di pagar utama kediaman Andrew tanpa menemui anak kedua Ratu Elizabeth II itu.

Perbicaraan pertama kes itu dijadual bermula Isnin ini.

Giuffre, yang sekarang berusia 38 tahun, mendakwa Andrew, 61, berdasarkan Akta Mangsa Kanak-kanak kerana dia berusia 17 tahun ketika kejadian.

Saman terhadap Andrew difailkan bulan lalu, yang menuduh putera dari Britain itu melakukan penganiayaan seks terhadapnya di rumah kepada sosialit, Ghislaine Maxwell di London, lebih 20 tahun lalu, ketika berusia bawah 18 tahun.

Andrew bagaimanapun berulang menafikan dakwaan mengadakan hubungan seks dengan Giuffre, dan menyatakan beliau tidak ingat pernah bertemu dengan wanita itu, namun dakwaan itu memberi kesan buruk kepada keluarga diraja. – AFP

Gambar fail menunjukkan Putera Andrew bercakap semasa temu ramah televisyen di Royal Chapel All Saints di Royal Lodge, Windsor, England.Putera Andrew menerima surat saman membabitkan kes tuduhan penderaan seksual seorang wanita ketika mangsa di bawah umur. – AP