Putera Harry akui ‘tidak sehaluan’ dengan abang

LONDON, 21 OKT – Putera Harry mengaku berada di ‘haluan berbeza’ dengan abangnya, Putera William.

Duke of Sussex itu kebelakangan ini diselubungi desas-desus mengenai hubungan yang berantakan bersama abangnya dan dalam satu wawancara bersama ITV, beliau mengesahkan bahawa terdapat sedikit perselisihan antara mereka.

Bercakap ketika lawatan ke selatan Afrika bersama isterinya, Meghan Markle baru-baru ini, Harry berkata pertalian saudara antara mereka tetap kekal selamanya.

“Kami buat masa ini memang berada di haluan berbeza namun saya akan selalu bersamanya jika diperlukan dan saya tahu, beliau akan melakukan yang sama.

“Kami tidak kerap bertemu seperti dahulu kerana masing-masing sibuk dengan urusan seharian namun saya menyayangi William sepenuh hati.

“Kebanyakan isu yang timbul sebenarnya hanya perkara remeh namun sebagai adik beradik, ada waktu pasang surut antara kami berdua,” kata Harry dalam wawancara berkenaan. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 10 Oktober 2018 menunjukkan Putera William (kanan) dan Putera Harry menganjur satu resepsi untuk merasmikan Persidangan Perniagaan Hidupan Liar 2018 di Istana St James di London. – AFP