LONDON, 15 OGOS – Putera Harry dan isterinya Meghan, Duchess Sussex, akan melawat United Kingdom (UK) bulan depan buat pertama kali sejak menghadiri sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II.
Jurucakap bagi pasangan diraja itu berkata mereka akan mengadakan lawatan ke beberapa buah yayasan di UK dan Jerman.
Mula-mula sekali, Harry dan Megan akan melancong ke bandar Manchester di utara pada 5 September bagi menghadiri sidang kemuncak ‘One Young World’, iaitu acara pemimpin muda yang akan dihadiri oleh ratusan peserta dari seluruh dunia. Meghan dijangka menyampaikan ucapan semasa pembukaan sidang tersebut.
Pasangan itu akan meneruskan perjalanan ke Duesseldorf di Jerman pada 6 September bagi menghadiri majlis kira detik ‘Invictus Games’ yang akan berlangsung tahun depan, ditubuh sejak tahun 2014 khas bagi anggota tentera yang cedera. Mereka akan pulang ke London bagi majlis anugerah ‘WellChild’.
Harry dan Meghan mengumumkan pengunduran mereka daripada keluarga diraja UK dan berpindah ke Amerika Syarikat awal tahun 2020. Mereka menghadiri sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II namun mereka mengelak tumpuan dan tidak menyertai Ratu Elizabeth II di balkoni Istana Buckingham. – AP