Putera Philip disemadikan

WINSDOR, 18 APRIL – Ratu Elizabeth II memberi penghormatan terakhir kepada mendiang suaminya, Putera Philip, dalam upacara pengebumian rasmi kerajaan di United Kingdom (UK).

Upacara dijalankan mengikut istiadat ketenteraan, namun terikat dengan peraturan ketat berikutan COVID-19 dengan kehadiran anggota keluarga yang amat terhad.

Duke of Edinburgh itu, yang meninggal dunia 9 April lalu pada usia 99 tahun, disemadikan di Royal Vault di Gereja St George, Istana Windsor, dalam upacara kira-kira 50 minit yang hanya dihadiri 30 tetamu.

Ratu Elizabeth, 94, yang buat pertama kalinya dilihat sejak kematian suaminya itu, duduk berseorangan memakai pakaian serba hitam, dengan memakai penutup mulut dan hidung.

Keluarga terdekat, juga kelihatan memakai penutup mulut dan hidung, duduk di kerusi berasingan di gereja kecil Gothic abad ke-15 yang bersejarah itu.

Keranda Putera Philip diletakkan dalam kenderaan Land Rover Defender yang diubahsuai sebelum perarakan pengebumian beristiadat ke Chapel St George di Istana Windsor, barat London pada 17 April 2021. – AFP

Putera Philip, yang disifatkan oleh keluarga diraja sebagai ‘grandfather of the nation’ atau ‘datuk negara’, adalah pasangan diraja yang paling lama di Britain dan berkahwin dengan Ratu selama 73 tahun.

Baginda selalu berada di sisi Ratu England itu selama pemerintahan yang memecahkan rekod sejak 1952, ketika Britain bangkit semula dari Perang Dunia Kedua, di saat kebanyakan negara jajahan menuntut kebebasan.

Kemangkatan Putera Philip yang dikatakan meninggalkan ‘kekosongan besar’ dalam kehidupan Ratu Elizabeth, yang mana beliau kehilangan satu-satunya lelaki paling lama bersamanya yang menjadi ‘kekuatan berkekalan’.

Kali terakhir pengebumian berprofil tinggi keluarga di raja itu adalah ketika pengebumian bonda Ratu meninggal pada 2002 ketika berusia 101 tahun, yang dihadiri lebih dari sejuta orang yang berkumpul di luar WestminsterAbbey.

Upacara itu jauh berbeza berbanding persemadian Putera Philip, yang terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Upacara persemadian yang dilaksanakan secara tertutup itu bagaimanapun disiarkan secara langsung di televisyen untuk tontonan orang ramai di seluruh Britain dan serata dunia. – AFP