Putera Philip gantung lesen memandu

LONDON, 10 Feb – Suami kepada Ratu Elizabeth, Putera Philip 97 tahun semalam menyerahkan lesen memandunya selepas mengakibatkan kemalangan kereta yang mengundang kemarahan media dan mencetuskan perdebatan tentang usia tua dan memandu.

Istana Buckingham mengatakan Putera Philip, yang secara rasmi dikenali sebagai Duke of Edinburgh, mengambil keputusan sendiri selepas merempuhkan keretanya sendiri pada bulan lalu.

“Selepas membuat pertimbangan dengan berhati-hati, Duke of Edinburgh telah mengambil keputusan untuk dengan sukarela menyerahkan lesen memandunya,” Istana Buckingham berkata dalam satu kenyataan ringkas.

Polis di bahagian timur England tempat kemalangan berlaku di luar kediaman diraja mengatakan mereka telah menyerahkan fail Putera Philip kepada pihak pendakwa untuk menentukan sama ada sesiapa yang harus didakwa.

“Polis Norfolk boleh mengesahkan bahawa pemandu berusia 97 terlibat dalam perlanggaran di Sandringham dengan sukarela telah menyerahkan lesennya kepada para pegawai,” demikian menurut kenyataan polis.

Gambar fail yang diambil pada 12 Oktober 2018 menunjukkan Putera Philip pada satu acara berdekatan London, England. Putera Philip membuat keputusan untuk berhenti memandu. – AP

“Fail siasatan bagi kejadian perlanggaran itu telah diserahkan kepada perkhidmatan Crown Prosecution Service (CPS) bagi pertimbangan mereka.”

Seorang jurucakap CPS mengatakan perkhidmatan itu ‘akan mengambil kira perkembangan ini’ ketika ia mengkaji kes Putera Philip.

Beberapa pemerhati diraja menjangkakan Duke akan dihukum oleh pihak polis.

Seorang saksi memberitahu media Britain bahawa Putera Philip keluar dari keretanya tanpa mengalami kecederaan tetapi ‘terkejut dan terketar-ketar’ akibat perlanggaran dengan sebuah kereta lebih kecil.

Menurut polis, anak damit berusia sembilan bulan yang berada di tempat duduk belakang kenderaan yang dilanggar itu tidak mengalami kecederaan. Seorang wanita dalam kenderaan itu mengalami patah pada pergelangan tangannya dan luka pada lututnya.

Duke terpaksa mengikut prosedur standard polis dan menjalani ujian pernafasan. – AFP