Putera William dijangka tiba di Auckland

WELLINGTON, 18 April – Duke Cambridge dijangka tiba di Auckland, New Zealand pada 25 April, atau Hari Anzac, dan akan melakukan perjalanan bersama-sama Perdana Menteri Jacinda Ardern ke Christchurch sehari selepas itu untuk memberi penghormatan kepada mangsa serangan pengganas yang berlaku pada 15 Mac, lapor agensi berita China Xinhua.

Ardern, yang mengesahkan perkara itu berkata Putera William akan bertemu anggota polis dan bomba yang bertugas dengan penuh dedikasi selepas serangan ke atas beberapa buah masjid di Christchurch, yang meragut 50 nyawa dan berpuluh-puluh lain lagi mendapat kecederaan.

Putera William yang juga mewakili ratu dijangka bertemu anggota komuniti Islam. Pada akhir bulan lepas, Ardern berkata beliau mengalu-alukan kunjungan itu sambil menambah “saya amat gembira kerana Putera William boleh melakukan lawatan singkat untuk menyokong mereka yang terjejas oleh serangan itu dan memberikan penghormatan kepada sifat belas kasihan luar biasa serta solidariti yang dipamer oleh rakyat New Zealand sejak beberapa minggu kebelakangan ini.” – Bernama