AMMAN, 25 Jun – Ketika pasukan England membenam Panama 6-1 semalam, Putera William yang juga Presiden Persekutuan Bolasepak Inggeris berlepas ke Jordan bagi jelajah bersejarah Timur Tengah.
Duke of Cambridge itu terlepas perlawanan yang membantu England mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia tetapi hanya mendapatkan ulang tayang di kediamannya hosnya, Putera Mahkota Hussein bin Abdullah.
Pewaris takhta Jordan itu mengeluarkan gambar-gambar dalam akaun Instagramnya lewat semalam yang menunjukkan dia dan William menyaksikan ulang tayang perlawanan itu dalam skrin televisyen besar.
Keduanya dilihat duduk di atas kerusi dalam apa yang dilihat bilik rekreasi di Beit al-Ordon, kediaman persendirian kerabat keluarga Diraja Jordan di daerah Hummar, barat Amman.
William, 36, peminat kelab Aston Villa, mengenakan seluar berwarna kuning air dan baju berwarna biru, sementara Hussein, 23, mengenakan baju–t lengan pendek dan Jeans.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/page-19-c_260618.jpg)
“Berehat bersama Putera William, Duke of Cambridge, selepas hari pertamanya di #OurJordan,” tulis Hussein dalam kapsyen yang diiringi dengan salah satu dari dua gambar keduanya.
‘Menyaksikan ulang tayang perlawanan England yang kami terlepas awal hari ini,’ satu lagi kapsyen yang menunjukkan bilik yang luas di mana kedua-duanya menyaksikan perlawanan itu.
William tiba pada Sabtu lalu di Jordan pada awal jelajah Timur Tengah yang akan menyaksikannya menjadi kerabat Diraja British yang pertama untuk membuat kunjungan rasmi ke Israel dan wilayah Palestin.
Lawatan dari pewaris kedua takhta British itu digambarkan sebagai peluang untuk bertemu Hussein, rakan graduan Royal Sandhurst Military Academy, Britain. – AFP