Puteri Aishah bergelar isteri

Dengan hanya sekali lafaz, pelakon Puteri Aishah, 27, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Firdaus Sulaiman, 28, di sebuah hotel terkemuka, jam 11:15 pagi, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan disaksikan bapa, Sulaiman Abd Rahman.

Pada majlis serba ringkas yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.

Puteri atau nama sebenarnya, Puteri Aishah Sulaiman berkata, dia sudah lama menantikan detik bahagia ini dan berharap ikatan perkahwinan akan berkekalan hingga akhir hayat.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik COVID-19.

Puteri Aishah jatuh cinta dengan keperibadian Muhammad Firdaus yang penyayang, baik dan mengutamakan keluarga. – Agensi

“Saya bersyukur impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga tercapai.

“Saya dan suami mohon maaf tidak dapat menjemput rakan-rakan artis di-sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya selepas usai majlis pernikahannya.

Puteri berkata Muhammad Firdaus memiliki setiap ciri-ciri lelaki idamannya.

“Saya menyukai keperibadian Muhammad Firdaus sepanjang dua tahun mengenalinya. Dia seorang lelaki yang baik dan mengutamakan keluarga.

“Suami penyayang dan meletakkan keluarga nombor satu. Malah, sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan.

“Dia sudah bagi lampu hijau untuk saya meneruskan kerjaya lakonan,” katanya.

Majlis ringkas dan serba sederhana hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat. Malam ini pasangan mempelai akan diraikan dalam satu majlis resepsi di hotel yang sama.

Terdahulu, kisah Puteri Aishah bakal menamatkan zaman bujang terbongkar apabila gambar pra perkahwinan dikongsi dalam Instagram (IG) menjadi tular, baru-baru ini.

Menerusi hantaran itu, finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu memuat naik beberapa gambar pra perkahwinan termasuklah bersama bakal suami daripada sisi belakang. – Agensi