Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin, Abe bincang perjanjian damai

    MOSCOW, 27 Mei – Presiden Rusia, Valdimir Putin dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam berjanji akan melangkah ke arah perjanjian damai untuk menyelesaikan pertikaian wilayah ke atas Kepulauan Kuril.

    Pengambilalihan Soviet ke atas kepulauan itu dalam tempoh hari-hari penghujung perang dunia II telah mencalarkan hubungan antara kedua-dua negara itu selama 70 tahun.

    “Kami percaya adalah penting untuk dengan sabar terus mencari jalan penyelesaian yang akan memuaskan kepentingan Rusia dan Jepun dan itu akan diterima oleh rakyat kedua-dua negara,” kata Putin dalam satu sidang media selepas perbincangan mereka.

    Tambahnya, Rusia akan ‘membantu’ dalam membenarkan warganegara Jepun untuk melawat Kepulauan Kuril.

    “Menyelesaikan pertikaian bukan mudah tetapi kami ingin menamatkannya dalam tempoh hayat generasi kami,” kata Abe.

    Presiden Vladimir Putin (kiri) dan Perdana Menteri Shinzo Abe ketika menghadiri satu upacara di Teater Bolshoi di Moscow, Rusia pada 26 Mei 2018. – AFP

    Dia menambah bahawa Tokyo ‘berterima kasih’ kepada Moscow kerana membenarkan warganegara Jepun untuk melawat kubur kaum keluarga mereka di kepulauan berkenaan.

    Sebelumnya, Abe berkata dia mengharapkan ‘kejayaan baharu’ dalam menyelesaikan pertikaian wilayah ke atas Kepulauan Kuril dan ‘bersedia untuk mengukuhkan kerjasama dalam cara tenang namun sangat aktif’.

    Sidang kemuncak itu adalah usaha terkini untuk menentukan batas di bawah Perang Dunia II sejak Jepun dan Soviet Union memulakan rundingan dalam tahun 1956.

    Mendiang ayah Abe, Shintaro telah mengetuai rundingan dengan Moscow sebagai menteri luar tetapi meninggal dunia pada tahun 1991 selepas mengusahakan rundingan ketika menghidap penyakit barah.

    Jepun berhati-hati untuk mengelak mengkritik Rusia, terutama dalam peranannya di Syria yang telah mengundang kecaman dari negara-negara Barat, ketika ia berusaha menyelesaikan pertikaian wilayah.

    Kedua-dua pemimpin juga membincangkan krisis Korea Utara.

    Putin menyeru negara-negara yang terlibat dalam mengawal krisis Korea Utara supaya menunjukkan ‘sikap bertahan untuk tidak membiarkan pertambahan baharu dalam konfrontasi dan untuk mengawal situasi dalam lapangan politik dan diplomatik’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda